Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur PSKT - 001.jpg Dari kiri - Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI, Dato' Ruziah Shafei, Setiausaha Kerajaan Terengganu Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Sains & Kreativiti Terengganu Mohd Huzairil Nizam Ibrahim sewaktu menyempurnakan masjlis perasmian Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur pada 19 Julai 2026.
KUALA TERENGGANU – Peranan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kekal penting sebagai pemacu pembangunan negara walaupun dunia kini berdepan perubahan besar susulan perkembangan pesat teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas, termasuk di kawasan luar bandar yang masih mempunyai keterbatasan dari segi capaian internet.
Dalam mendepani perubahan landskap teknologi tersebut, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab pendidikan sains utama di Pantai Timur apabila mencapai usia 21 tahun sejak mula beroperasi pada 2005.
Sepanjang tempoh tersebut, PSKT kekal komited dalam memperluaskan akses pendidikan STEM kepada masyarakat, termasuk komuniti luar bandar, menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman dan pendedahan secara langsung terhadap dunia sains serta teknologi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, peranan PSKT sejajar dengan aspirasi negara untuk memperkukuhkan ekosistem sains, teknologi dan inovasi menerusi pelaksanaan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), khususnya dalam menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan era kecerdasan buatan.
“PSKT kekal relevan untuk Terengganu dalam memperkukuhkan kerangka dan hala tuju Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN), selain menyokong perkembangan Revolusi Industri 4.0 serta gelombang baharu teknologi kecerdasan buatan (AI) ketika ini.
“PSKT bukan sahaja memberi peluang dan ruang kepada rakyat di Terengganu, malah turut terbuka kepada masyarakat dari negeri-negeri lain kerana ia merupakan satu-satunya fasiliti pusat sains khusus di Pantai Timur.
“Terengganu akan terus komited menyokong hala tuju PSKT serta pelbagai inisiatif berkaitan sebagai usaha memperkasakan generasi seterusnya yang akan menerajui pembangunan negara,” katanya selepas merasmikan Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur di sini.
Beliau berkata, kewujudan fasiliti seperti PSKT memberi nilai tambah kepada generasi muda dengan menyediakan peluang untuk mendekati, memahami dan mengalami sendiri aplikasi STEM dalam kehidupan sebenar.


PSKT sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tuan rumah Minggu Sains Negara Zon Timur bagi tahun keempat berturut-turut. Penganjuran kali ini tampil dengan konsep karnival yang menghimpunkan 35 agensi melalui pelbagai pameran interaktif, demonstrasi teknologi dan aktiviti pendidikan.
Antara pengisian utama ialah program “Nuklear Untuk Rakyat” anjuran Agensi Nuklear Malaysia yang memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai peranan teknologi nuklear serta aplikasinya dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, pertanian dan industri.
Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur berlangsung selama tiga hari bermula 18 hingga 20 Julai dan merupakan inisiatif tahunan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memperluaskan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi kepada masyarakat.
Program berkenaan menjadi platform penting dalam mendekatkan STEM kepada rakyat, selain memperkukuhkan kesedaran bahawa penguasaan ilmu sains dan teknologi merupakan elemen penting dalam menghadapi perubahan dunia yang semakin dipacu oleh inovasi digital dan kecerdasan buatan. – DETIK MALAYSIA
