PUTRAJAYA – Persatuan Bola Keranjang Putrajaya (PUBA) telah menganjurkan Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-10 bagi meraikan satu dekad perjalanan persatuan dalam membangunkan sukan bola keranjang di Putrajaya.
Bertemakan Unity, Passion & Excellence, majlis ini menghimpunkan pemain, jurulatih, pegawai, penaja, rakan strategik serta pemimpin komuniti bola keranjang dalam suasana penuh penghargaan dan kebersamaan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat, termasuk Presiden Malaysia Basketball Association (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock, yang sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan bola keranjang di Putrajaya dan Malaysia.
Sepanjang tempoh 10 tahun penubuhannya, PUBA telah memainkan peranan penting dalam melahirkan bakat-bakat baharu, memperkukuhkan pembangunan akar umbi, menganjurkan pelbagai kejohanan serta memperluaskan penglibatan masyarakat dalam sukan bola keranjang.
Katanya, kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat antara ahli persatuan, sukarelawan, penaja, agensi kerajaan dan semua pihak yang sentiasa memberikan komitmen kepada pembangunan sukan ini.
Presiden PUBA, Mohd Haniff Ab Razak, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bersama-sama membina kejayaan persatuan sepanjang sedekad yang lalu.
“Kejayaan PUBA bukanlah hasil usaha individu, tetapi lahir daripada semangat berpasukan, kepercayaan dan komitmen semua pihak. Kami akan terus memperkukuhkan pembangunan pemain, melahirkan lebih ramai jurulatih dan pegawai berkualiti serta menjadikan Putrajaya sebagai antara pusat pembangunan bola keranjang terbaik di negara ini,” katanya di sini baru-baru ini.
Beliau turut berkongsi aspirasi PUBA bagi tempoh dua tahun akan datang, termasuk memperluaskan program pembangunan akar umbi, memperkukuhkan kerjasama dengan sekolah dan institusi pendidikan, meningkatkan penganjuran kejohanan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa serta melahirkan lebih ramai pemain yang mampu mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
Majlis turut menyaksikan penyampaian penghargaan kepada individu dan organisasi yang telah memberikan sumbangan besar kepada pembangunan bola keranjang di Putrajaya sepanjang 10 tahun yang lalu.
PUBA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penaja, rakan strategik, sukarelawan, ahli jawatankuasa, pemain, jurulatih, ibu bapa dan seluruh komuniti bola keranjang atas sokongan berterusan dalam menjayakan misi persatuan.
Dengan semangat Unity, Passion & Excellence, PUBA komited untuk terus memacu kecemerlangan bola keranjang Putrajaya dan menyumbang kepada pembangunan bola keranjang Malaysia. – DETIK MALAYSIA
