LONDON – Winger Chelsea, Alejandro Garnacho dilaporkan semakin hampir meninggalkan Stamford Bridge selepas Aston Villa mencapai kata sepakat untuk mendapatkan khidmat pemain itu pada jendela perpindahan musim panas ini.
Menurut laporan The Athletic, pemain antarabangsa Argentina berusia 22 tahun itu akan menyertai Villa menerusi perjanjian pinjaman selama semusim yang turut disertakan klausa pembelian tetap sekiranya syarat yang dipersetujui dipenuhi.
Garnacho yang hanya semusim menyarung jersi Chelsea selepas berhijrah dari Manchester United gagal memenuhi jangkaan apabila sukar menempatkan diri dalam kesebelasan utama.
Pengendali Villa, Unai Emery dikatakan sudah lama mengagumi kemampuan Garnacho dan pernah cuba membawanya ke Villa Park ketika pemain itu meninggalkan Manchester United tahun lalu.
Bagaimanapun, Garnacho ketika itu memilih untuk menyertai Chelsea sebelum Villa akhirnya berjaya mencapai persetujuan dengan The Blues pada kali ini.
Laporan sama turut mendakwa Garnacho sudah menjalani pemeriksaan kesihatan di Birmingham dan bersetuju menandatangani kontrak selama empat tahun sekiranya perpindahan itu menjadi kekal.
Perpindahan tersebut berlaku ketika Chelsea sedang melakukan rombakan besar di bawah pengurus baharu, Xabi Alonso. Malah, Garnacho diberikan pelepasan daripada menyertai latihan pramusim bagi melengkapkan urusan perpindahannya.
Sepanjang beraksi bersama Chelsea musim lalu, Garnacho hanya memulakan 22 perlawanan dalam semua kejohanan termasuk 14 aksi Liga Perdana Inggeris dengan menghasilkan lapan gol.
Chelsea sebelum ini turut mendapatkan Morgan Rogers daripada Aston Villa menerusi perpindahan bernilai £117 juta, manakala Villa melihat Garnacho sebagai calon terbaik untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain tersebut.
Bagi Garnacho, perpindahan ke Villa Park dilihat sebagai peluang terbaik untuk menghidupkan semula kariernya di bawah bimbingan Emery.
Sebelum berhijrah ke Chelsea, Garnacho menghabiskan lima tahun bersama Manchester United dengan merekodkan 26 gol dalam 144 penampilan dalam semua pertandingan. Namun, hubungannya dengan United berakhir kurang baik apabila tidak lagi menjadi pilihan utama di bawah Ruben Amorim. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo
