LONDON – Arsenal menerima tamparan hebat menjelang saingan musim baharu apabila tonggak pertahanan, William Saliba disahkan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan belakang yang dialaminya ketika bersama skuad kebangsaan Perancis pada Piala Dunia 2026.
Kelab itu mengesahkan pertahanan berusia 25 tahun tersebut akan menjalani program pemulihan secara berperingkat tanpa perlu menjalani pembedahan.
Saliba dilaporkan sudah mengalami masalah belakang sejak beberapa minggu sebelum Piala Dunia bermula, namun tetap beraksi bagi membantu Perancis memburu kejuaraan.
Bagaimanapun, kecederaan itu bertambah serius ketika aksi separuh akhir menentang Sepanyol apabila dia hanya sempat beraksi selama 30 minit sebelum dikeluarkan.
Selepas pulang ke London dan menjalani pemeriksaan lanjut, pasukan perubatan Arsenal memutuskan pembedahan tidak diperlukan, sebaliknya Saliba akan menjalani proses rehabilitasi di bawah pemantauan rapi.
Dalam kenyataan rasmi, Arsenal memaklumkan pemain itu akan memulakan program pemulihan secepat mungkin dengan harapan dapat kembali cergas tanpa perlu menjalani prosedur pembedahan.
Kecederaan itu turut menyebabkan Saliba terlepas aksi penentuan tempat ketiga Piala Dunia, menyaksikan Perancis tewas kepada England.
Sebelum ini, Saliba mengakui dia menahan kesakitan di bahagian belakang selama beberapa bulan kerana mahu membantu Arsenal dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara selain mewakili Perancis di pentas Piala Dunia.
Musim lalu, Saliba menjadi antara pemain paling konsisten Arsenal apabila membuat 50 penampilan dalam semua kejohanan.
Dia memainkan peranan penting membantu The Gunners menamatkan kemarau 22 tahun dengan menjulang gelaran Liga Perdana Inggeris selain mara ke pentas final Liga Juara-Juara.
Kehilangan Saliba pastinya menjadi cabaran besar buat pengendali Mikel Arteta menjelang aksi Community Shield menentang Manchester City pada 16 Ogos sebelum Arsenal membuka kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris berdepan Coventry City lima hari kemudian. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AP Photo
