SHAH ALAM – Strategi tekanan melalui sekatan ekonomi, ancaman ketenteraan dan serangan terhadap infrastruktur didakwa tidak melemahkan Iran, sebaliknya mengukuhkan semangat rakyat negara itu untuk terus mempertahankan maruah dan kedaulatan.
Presiden Nations Diplomacy Think Tank, Sayed Mohammad Ali Sayedhanaee, berkata, banyak pihak luar menganggap ketakutan, keletihan dan tekanan ekonomi akhirnya akan memaksa rakyat Iran menerima sebarang bentuk kompromi.
Bagaimanapun, katanya, tanggapan itu mengabaikan hakikat bahawa masyarakat Iran melihat isu tersebut bukan sekadar pilihan antara perang atau keamanan, mahupun kemiskinan atau kemakmuran, sebaliknya melibatkan soal maruah dan penghinaan.
Menurut beliau, walaupun masyarakat Iran mempunyai perbezaan pandangan serta kritikal terhadap kerajaan sendiri, mereka lazimnya bersatu apabila berdepan tekanan luar yang dianggap mencabar maruah negara.
Katanya, dalam budaya politik Iran, konsep maruah membawa maksud penghormatan diri, kehormatan dan kedaulatan, manakala penghinaan pula dilihat sebagai lambang penafian terhadap kemerdekaan serta kebebasan sesebuah negara.
Beliau menjelaskan, naratif Karbala khususnya pendirian Imam Hussein yang enggan tunduk kepada kezaliman terus menjadi asas penting dalam pemikiran politik Iran.
“Ungkapan Hayhat minna al-dhilla (jauh daripada kami penghinaan) bukan sekadar slogan sejarah, tetapi menjadi sempadan moral bahawa sebarang penyelesaian yang dianggap mengaibkan tidak boleh diterima walaupun terpaksa menanggung pengorbanan besar,” katanya.
Beliau berkata, konsep syahid dalam pemikiran Syiah bukan bermaksud mengagungkan kematian, sebaliknya memberi makna kepada pengorbanan demi mempertahankan keadilan dan maruah.
Menurutnya, pendekatan itu turut mempengaruhi cara Iran melihat isu rundingan nuklear, tindak balas ketenteraan dan dasar luar, apabila sebarang kompromi hanya boleh diterima jika dianggap dibuat secara sukarela serta bermaruah, bukannya hasil paksaan.
Beliau turut mengaitkan semangat itu dengan sejarah moden Iran termasuk Revolusi Perlembagaan, nasionalisasi industri minyak di bawah Mohammad Mosaddegh serta Perang Iran-Iraq, yang menyaksikan mereka yang terkorban dikenang sebagai simbol maruah negara.
Selain naratif Karbala, beliau berkata, legenda Arash pemanah dan kisah Ariobarzanes yang menentang tentera Alexander the Great di Persian Gate turut menjadi lambang pengorbanan demi mempertahankan tanah air.
Katanya, pengalaman sejarah itu menyebabkan ancaman terhadap infrastruktur atau kenyataan keras seperti mahu “mengembalikan Iran ke Zaman Batu” tidak sekadar dilihat sebagai tekanan strategik, malah dianggap ancaman terhadap maruah negara.
“Keadaan itu biasanya membangkitkan semangat nasionalisme dan mengurangkan perpecahan dalaman apabila rakyat merasakan maruah negara sedang dicabar,” katanya.
Beliau menegaskan, dasar berasaskan tekanan maksimum dan ugutan hanya mengukuhkan naratif penentangan, manakala penyelesaian diplomatik yang berkekalan perlu dibina atas asas saling menghormati serta memelihara maruah kedua-dua pihak.
“Semakin tekanan dilihat sebagai satu bentuk penghinaan, semakin kuat juga penentangan yang akan muncul,” katanya. -DETIK MALAYSIA
