Jais Abdul Karim
KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menegaskan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji perlu dijadikan titik tolak untuk melaksanakan reformasi institusi, bukannya dijadikan bahan pertikaian politik.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, dapatan RCI menunjukkan isu sebenar bukan sekadar membabitkan dakwaan penyelewengan, sebaliknya lebih besar melibatkan campur tangan politik, kelemahan tadbir urus, konflik kepentingan, struktur pelaburan yang tidak berkesan serta keperluan memperkukuh mekanisme semak dan imbang.
Menurutnya, laporan itu turut memperlihatkan kelemahan tadbir urus berlaku merentasi tempoh pentadbiran yang berbeza.
“Justeru, isu ini tidak seharusnya dilihat melalui lensa kepartian, sebaliknya sebagai kegagalan sistem yang memerlukan pembaharuan institusi secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MCW berpandangan amanah mengurus dana umat seperti Tabung Haji perlu diserahkan kepada individu yang mempunyai integriti, profesionalisme dan kepakaran serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.
Menurut kenyataan itu, cadangan RCI supaya ahli politik aktif tidak lagi dilantik menganggotai Lembaga Tabung Haji merupakan langkah reformasi yang wajar dipertimbangkan untuk diperluaskan kepada institusi kewangan berkaitan kerajaan (GLIC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun lain yang mengurus dana awam.
MCW menegaskan kejayaan sebenar pendedahan RCI bukan diukur melalui keuntungan politik mana-mana pihak, sebaliknya melalui keberanian negara melaksanakan reformasi institusi, memperkukuh akauntabiliti serta memastikan amanah rakyat diurus secara telus, profesional dan bebas daripada campur tangan politik. – DETIK MALAYSIA
