KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe gembira melihat anak buahnya terus mempamerkan peningkatan apabila membenam Laos 4-0 sekali gus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan B Piala ASEAN Hyundai 2026.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia mengutip enam mata daripada dua perlawanan dan berada pada kedudukan terbaik menjelang aksi getir menentang Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok, Sabtu ini.
Cheng Hoe berkata, tiga mata yang diraih bukan sahaja penting dari segi kedudukan, malah meningkatkan lagi keyakinan skuad kebangsaan.
“Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami terus membina momentum dan semakin memahami corak permainan antara satu sama lain. Tiga mata ini memberikan motivasi tambahan menjelang perlawanan menentang Thailand,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pasukannya masih mempunyai banyak perkara yang perlu diperbaiki memandangkan hanya mempunyai tempoh dua hari untuk membuat persiapan.
“Kami masih mempunyai banyak kerja rumah. Kami hanya ada dua hari untuk bersedia dan perlu terus meningkatkan prestasi jika mahu benar-benar bersedia menghadapi Thailand,” ujarnya.
Mengulas aksi menentang Laos, Cheng Hoe mengakui lawan bertahan dengan sangat rapat pada babak pertama sehingga menyukarkan Harimau Malaya mencari jaringan.
Namun, gol pembukaan daripada kapten, Paulo Josue sebelum tamat separuh masa pertama berjaya mengubah rentak permainan.
“Babak pertama agak sukar kerana Laos bertahan dengan sangat kompak dan kami gagal menembusi benteng mereka. Gol Paulo memberikan keyakinan kepada pasukan dan pada babak kedua kami bermain jauh lebih baik. Apabila keyakinan hadir, permainan dan jaringan mula mengalir,” jelasnya.
Menurut Cheng Hoe, semangat berpasukan akan menjadi elemen paling penting apabila berdepan Thailand yang memiliki skuad berkualiti dan beraksi di laman sendiri.
“Thailand mempunyai skuad yang sangat baik dan mereka bermain di gelanggang sendiri. Kami perlu bersedia sepenuhnya kerana semangat berpasukan akan menjadi faktor paling penting dalam perlawanan itu.”
Dalam pada itu, Cheng Hoe turut memuji persembahan pemain muda, Gunalan Pavithran yang dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan selepas mencipta dua bantuan gol.
Beliau percaya pemain sayap itu memiliki potensi besar, namun memerlukan sokongan dan keyakinan untuk terus berkembang.
“Pavithran mempunyai potensi besar untuk masa depan. Sebagai jurulatih, kami perlu membimbing, memberi galakan dan keyakinan supaya dia bermain tanpa rasa takut.
“Dia melaksanakan setiap arahan yang diberikan dan mempamerkan aksi cemerlang. Dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dia semakin meningkat. Perkara paling penting ialah dia percaya kepada kemampuan sendiri,” katanya.
Cheng Hoe turut menegaskan pemain senior memainkan peranan penting dalam membimbing barisan muda di dalam skuad kebangsaan.
Sementara itu, Pavithran mengakui dia sedikit gugup pada awal permainan, namun sokongan rakan sepasukan serta kata-kata semangat daripada barisan kejurulatihan membantunya bangkit pada separuh masa kedua.
“Keyakinan saya datang daripada rakan sepasukan. Pemain-pemain berpengalaman sentiasa memberi sokongan dan jurulatih terus menaikkan semangat saya ketika waktu rehat. Sokongan itu membantu saya beraksi lebih baik pada babak kedua,” katanya.
Pemain muda itu berkata, sasaran utama Harimau Malaya ketika ini adalah melangkah ke separuh akhir kejohanan.
“Sasaran kami adalah ke separuh akhir. Sekarang kami akan ke Thailand dan berjuang untuk mendapatkan tiga mata lagi. Kami akan memberikan segala-galanya.”
Menurutnya, peluang menyarung jersi negara perlu dimanfaatkan sebaik mungkin.
“Bukan mudah untuk pemain muda mendapat peluang seperti ini. Apabila jurulatih memberi minit permainan, anda perlu buktikan bahawa anda layak berada di sini,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Cheng Hoe mengakui mengimbangi skuad yang dibarisi pemain berpengalaman dan beberapa pemain muda merupakan antara cabaran terbesar yang dihadapinya.
Katanya, suasana positif dalam pasukan sama penting dengan aspek taktikal bagi memastikan tahap keyakinan dan motivasi pemain sentiasa berada pada tahap terbaik.
Selain itu, beliau memaklumkan tahap kecergasan, kecederaan dan proses pemulihan pemain akan dipantau rapi menjelang aksi menentang Thailand memandangkan Malaysia mengharungi tiga perlawanan dalam tempoh seminggu.
“Kecergasan, kecederaan dan pemulihan amat penting. Kami perlu menilai setiap pemain dengan teliti sebelum perlawanan seterusnya,” katanya.
Cheng Hoe turut memuji Sergio Aguero yang berjaya menyesuaikan diri apabila diturunkan di posisi tengah bertahan biarpun bukan posisi asalnya.
“Apabila saya meminta Sergio bermain sebagai pemain nombor enam, dia terus bersetuju. Mentaliti seperti itu yang perlu dicontohi pemain muda.
“Apabila jurulatih memerlukan anda bermain di posisi berbeza, anda perlu sentiasa bersedia. Itulah tanggungjawab apabila mewakili pasukan kebangsaan,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredoit foto – FAM
