ALOR SETAR – Kontinjen Kedah menerima suntikan dana berjumlah RM465,183.72 menjelang saingan Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 dalam Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Negeri Kedah yang berlangsung di Dewan Insaniah, Mergong, semalam.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah, Muhammad Radhi Md. Din.
Seramai 686 atlet dan pegawai akan mewakili Kedah pada temasya dwitahunan itu dengan harapan membawa pulang kejayaan buat negeri.
Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK), Baddrol Bakhtiar berkata, SUKMA bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya platform untuk membentuk semangat juang dan jati diri atlet.
“SUKMA bukan sekadar medan memburu pingat, malah menjadi pentas untuk membuktikan semangat juang, perpaduan dan jati diri sebagai anak Kedah. Saya berharap seluruh kontinjen terus bersemangat, berdisiplin serta memberikan aksi terbaik demi mengharumkan nama Kedah di pentas sukan negara,” katanya.
Dalam majlis sama, Pengurus Besar Tabung Amanah Sultan Kedah (TASK), Azhan Abd. Hamid menyampaikan sumbangan berjumlah RM465,183.72 kepada Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) sebagai sokongan kepada kontinjen yang akan beraksi di SUKMA XXII Selangor 2026.
Sumbangan itu diharap dapat membantu memperkukuhkan persiapan kontinjen Kedah bagi menghadapi temasya berkenaan.
Kontinjen Kedah dijangka membawa cabaran dalam pelbagai acara di SUKMA XXII Selangor 2026 dengan misi mengharumkan nama negeri serta mengibarkan panji Kedah di bumi Selangor. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Baddrol Bakhtiar
