PORT DICKSON – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan pengagihan wang tunai RM300 kepada orang ramai di Bukit Pelanduk yang didakwa melibatkan pengesahan kad pengenalan serta rekod penerima menggunakan sistem telefon bimbit.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius pemerhatian yang diterima daripada pasukan pemerhatinya di lapangan berhubung kejadian berkenaan.
Menurut kenyataan itu, sekiranya pemerhatian tersebut tepat, ia merupakan perkembangan yang amat membimbangkan kerana kaedah sedemikian berpotensi menimbulkan persepsi bahawa bantuan kewangan digunakan untuk mempengaruhi sentimen pengundi.
“Walaupun tiada logo atau simbol mana-mana pihak dipaparkan, ia tidak semestinya menghapuskan persoalan mengenai tujuan sebenar pemberian tersebut.
“Apa yang lebih penting ialah siapa yang membiayai program itu, mengapa ia dilakukan ketika tempoh pilihan raya dan apakah objektif sebenar pengumpulan maklumat penerima,” katanya.
MCW turut menegaskan integriti pilihan raya tidak boleh dinilai berdasarkan pematuhan teknikal semata-mata.
Sebaliknya, katanya, semangat demokrasi menuntut setiap proses pilihan raya berjalan secara bebas daripada sebarang bentuk pengaruh kewangan yang boleh menjejaskan kebebasan rakyat membuat pilihan.
Sehubungan itu, MCW menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta agensi penguat kuasa berkaitan menjalankan siasatan segera, bebas dan telus terhadap dakwaan tersebut.
Menurutnya, rakyat berhak mengetahui sumber dana, pihak yang menganjurkan program berkenaan, mekanisme pengagihan serta tujuan sebenar pengumpulan data penerima.
“MCW akan terus memantau perkembangan di lapangan dan tidak akan berkompromi terhadap apa-apa amalan yang boleh mencemarkan integriti proses demokrasi negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI
