KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan dakwaan bahawa pelarian Rohingya datang ke Malaysia untuk mengambil alih kawasan tertentu atau mengancam kedaulatan negara adalah satu persepsi yang perlu diperbetulkan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, majoriti pelarian Rohingya memasuki Malaysia kerana melarikan diri daripada penganiayaan, peperangan, penafian kewarganegaraan serta ancaman terhadap nyawa di negara asal mereka.
Menurut beliau, golongan itu bukan datang sebagai penjajah, tidak menuntut wilayah, hak politik atau mencabar Perlembagaan Persekutuan.
“Apa yang mereka mohon hanyalah satu tempat yang selamat untuk berlindung sementara sehingga wujud penyelesaian yang berkekalan terhadap krisis di negara asal mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sebahagian besar pelarian Rohingya masih belum memiliki dokumen rasmi dan ramai masih menunggu untuk didaftarkan serta diiktiraf sebagai pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Katanya, tempoh menunggu yang panjang menyebabkan mereka berada dalam keadaan terdedah, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pilihan yang ada sepanjang proses tersebut.
“Adakah mereka harus terus hidup dalam ketakutan, bersembunyi daripada pihak berkuasa walaupun belum sempat didaftarkan atau ditahan di depot imigresen untuk tempoh yang panjang?” soalnya.
Mohd Azmi berkata, Malaysia boleh mempertimbangkan satu mekanisme sementara yang membolehkan identiti mereka disahkan sementara proses penentuan status pelarian oleh UNHCR sedang berjalan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tindakan penguatkuasaan undang-undang merupakan hak dan tanggungjawab kerajaan, manakala mana-mana individu yang melanggar undang-undang atau mengancam keselamatan negara perlu dikenakan tindakan tegas tanpa kompromi.
Bagaimanapun, katanya, penguatkuasaan perlu dilaksanakan selaras dengan prinsip perikemanusiaan.
“Perlu ada perbezaan yang jelas antara penjenayah dengan pelarian yang sedang mencari perlindungan, antara sindiket pemerdagangan manusia dengan mangsa yang diperdagangkan serta antara ancaman keselamatan dengan keluarga yang melarikan diri demi menyelamatkan anak-anak mereka,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan mekanisme Dokumen Perlindungan Sementara kepada individu yang telah melalui saringan keselamatan dan sedang menunggu proses penentuan status pelarian oleh UNHCR.
Menurut beliau, dokumen itu tidak memberikan taraf penduduk tetap atau kewarganegaraan, sebaliknya membolehkan identiti mereka dikenal pasti oleh pihak berkuasa, mengurangkan risiko penahanan berulang serta memudahkan pemantauan.
Katanya, pendekatan tersebut akan memberi manfaat kepada semua pihak apabila kerajaan mempunyai rekod yang lebih lengkap, agensi keselamatan dapat menjalankan pemantauan dengan lebih berkesan, manakala pelarian tidak dipaksa hidup secara bersembunyi dan mudah dieksploitasi sindiket jenayah.
“Malaysia boleh terus bertegas mempertahankan kedaulatan negara sambil mengekalkan nilai ihsan yang menjadi asas ajaran Islam dan nilai sejagat. Ketegasan dan perikemanusiaan bukan dua prinsip yang bercanggah, sebaliknya boleh bergerak seiring melalui dasar yang adil, tersusun dan bertanggungjawab,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Jakkapong
