KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) menegaskan pihaknya kekal komited memperkukuhkan kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan prestasi atlet negara terus berada pada tahap terbaik.
Pada masa sama, ISN merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), atlet, jurulatih dan pegawai selepas kejayaan meraih tiga pingat emas pada Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Menurut ISN, pencapaian itu membuktikan hasil usaha gigih atlet, pasukan kejurulatihan, persatuan sukan kebangsaan serta sokongan pelbagai pihak dalam ekosistem sukan berprestasi tinggi negara.
Mengulas pandangan yang dikemukakan PABM berhubung aspek pengurusan makanan tambahan dan sokongan sains sukan, ISN berkata setiap keputusan yang dibuat adalah berpandukan penilaian saintifik, amalan profesional, tadbir urus yang baik serta prinsip keselamatan dan kebajikan atlet.
“ISN kekal komited melaksanakan tanggungjawab tersebut secara berintegriti, telus dan berasaskan bukti selaras dengan piawaian serta amalan yang diterima pakai.
“ISN sentiasa mengamalkan pendekatan libat urus dan kerjasama erat bersama persatuan sukan kebangsaan, pasukan kejurulatihan serta semua pihak berkepentingan dalam memastikan sistem sokongan prestasi atlet terus diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, setiap pandangan dan maklum balas yang diterima akan diteliti secara konstruktif sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan.
ISN turut berpandangan kejayaan atlet adalah hasil usaha kolektif semua pihak, justeru hubungan strategik antara ISN, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), persatuan sukan kebangsaan serta semua pihak berkepentingan perlu terus diperkukuhkan berlandaskan semangat saling menghormati, komunikasi terbuka dan matlamat bersama untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Dalam pada itu, ISN memaklumkan pihaknya akan terus memberikan sokongan sepenuhnya kepada semua atlet negara yang masih beraksi pada baki acara Sukan Komanwel Glasgow 2026 agar mereka mampu mempamerkan prestasi terbaik demi mencapai sasaran kontinjen Malaysia.
ISN sekali lagi mengucapkan tahniah kepada atlet angkat berat negara dan berharap momentum kecemerlangan itu akan terus menjadi inspirasi kepada seluruh kontinjen Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Majlis Sukan Negara Malaysia
