SEPANG – Penentuan harga tiket Formula Satu (F1) Grand Prix Gulf Air Bahrain yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober depan bergantung sepenuhnya kepada Bahrain selaku pemegang hak penganjuran perlumbaan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, Bahrain bukan sahaja bertanggungjawab terhadap hak penganjuran F1, malah akan menerima keseluruhan hasil jualan tiket.
Justeru, katanya, kuasa menetapkan harga tiket adalah di bawah bidang kuasa penganjur dari negara itu.
“Berdasarkan perbincangan awal, semua hasil jualan tiket akan disalurkan kepada Bahrain. Jadi, kami tidak mempunyai kuasa penuh untuk menentukan harga tiket,” katanya pada sidang akhbar SIC semalam.
Menurut Azhan, SIC sedar ramai peminat tempatan mengharapkan harga tiket yang lebih mampu milik termasuk pakej khas Rahmah atau Madani.
Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) bagi mendapatkan tawaran harga yang lebih berpatutan khususnya kepada pemegang MyKad.
“Saya tahu ramai peminat mengharapkan tiket lebih murah atau pakej Rahmah dan Madani. Saya akan cuba sedaya upaya memohon harga istimewa, mungkin untuk pemegang MyKad, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada Bahrain,” katanya.
Beliau berkata, rundingan antara SIC dan BIC masih berjalan, dengan wakil Bahrain dijangka tiba di Malaysia minggu depan bagi meneruskan perbincangan secara bersemuka selepas beberapa siri mesyuarat dalam talian minggu ini.
Katanya, pertemuan itu dijangka memberi gambaran lebih jelas mengenai urusan penjualan tiket serta perancangan operasi menjelang perlumbaan berprestij berkenaan.
Azhan berkata, SIC optimis jualan tiket dapat dimulakan pada minggu pertama Ogos atau lebih awal sekiranya rundingan berjalan lancar.
“Saya berharap lebih banyak maklumat mengenai kategori tiket, struktur harga dan kaedah jualan dapat diumumkan dalam beberapa hari lagi sebelum penjualan tiket dibuka,” katanya.
Perlumbaan F1 Grand Prix Gulf Air Bahrain di Sepang bakal menandakan kembalinya perlumbaan Formula Satu ke Malaysia buat kali pertama sejak 2017, sekali gus menghangatkan semula keterujaan peminat sukan permotoran di rantau ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – SIC
