KUALA LUMPUR – Kejayaan membawa pulang lima pingat emas dan satu gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 membuktikan jurulatih tempatan mampu melahirkan atlet bertaraf dunia apabila diberikan kepercayaan dan sokongan secukupnya.
Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat berkata, pencapaian bersejarah itu bukan hanya hasil usaha atlet di podium, malah didorong komitmen, kepakaran serta pengorbanan seluruh pasukan di belakang tabir.
Menurut PABM, kejayaan itu membuktikan tenaga kejurulatihan tempatan mempunyai kemampuan membawa Malaysia bersaing di pentas antarabangsa.
“Sejak dahulu saya sentiasa percaya kepada kemampuan jurulatih tempatan. Mereka mempunyai ilmu, pengalaman dan semangat yang tinggi.
“Apabila diberi peluang serta kepercayaan, mereka mampu membuktikan bahawa anak tempatan juga mampu membawa Malaysia ke puncak kejayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PABM turut merakamkan penghargaan kepada Naib Presidennya yang juga Pengurus Pasukan, Amirul Hamizan Ibrahim, atas peranan menyelaras pengurusan kontinjen sepanjang temasya sehingga semua keperluan atlet dan pegawai dapat dipenuhi.
Penghargaan sama turut diberikan kepada barisan jurulatih negara yang diketuai Edmund Yeo Thian Chuan bersama Mohd. Norshah Rizal Ruslan kerana berjaya menterjemahkan program latihan kepada pencapaian cemerlang di Glasgow.
Menurut kenyataan itu, kejayaan tersebut bukan dicapai dalam tempoh singkat, sebaliknya lahir daripada pengorbanan besar jurulatih dan pegawai yang sanggup berjauhan daripada keluarga selama berbulan-bulan bagi memastikan atlet berada pada prestasi terbaik.
“Ramai hanya melihat pingat yang dimenangi dan atlet yang diraikan di podium. Namun di sebalik setiap kejayaan itu, terdapat jurulatih dan pegawai yang bekerja tanpa mengenal penat, merancang setiap sesi latihan serta mengurus keperluan atlet demi memastikan Jalur Gemilang berkibar di pentas antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, PABM turut menghargai sokongan kepimpinan persatuan, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Majlis Olimpik Malaysia, Institut Sukan Negara, penaja, persatuan angkat berat negeri serta seluruh rakyat Malaysia yang terus menyokong pembangunan sukan angkat berat negara.
Tambah PABM, kejayaan di Glasgow menjadi bukti bahawa gabungan kepercayaan terhadap jurulatih tempatan, kepimpinan yang kukuh dan sistem pengurusan mantap mampu melahirkan lebih ramai atlet bertaraf dunia.
“Pencapaian ini bukan sekadar kemenangan atlet, tetapi kemenangan seluruh keluarga besar PABM yang bekerja sebagai satu pasukan demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya. – DETIK MALAYSIA
