KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan sebarang kepincangan pengurusan dalam agensi dan institusi yang diamanahkan mengurus dana awam berbilion ringgit tidak boleh dipandang ringan atau dikompromi kerana melibatkan amanah kepada rakyat.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, institusi yang diwujudkan untuk memperkasa umat Islam dan membela kepentingan Bumiputera tidak seharusnya menjadi medan kepada budaya salah urus, pembaziran, ketidakcekapan, konflik kepentingan serta penyalahgunaan kuasa.
Menurut beliau, setiap sen dana awam merupakan amanah yang wajib diuruskan dengan penuh integriti, ketelusan dan tanggungjawab.
“Islam meletakkan amanah sebagai asas kepimpinan. Allah SWT berfirman, ‘Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil’ (Surah al-Nisa’, ayat 58),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Rasulullah SAW turut mengingatkan bahawa apabila amanah disia-siakan, keruntuhan akan berlaku.
“Justeru, pengurusan institusi yang lemah bukan sekadar kegagalan pentadbiran, malah merupakan pengkhianatan terhadap amanah yang dipikul bagi pihak rakyat,” ujarnya.
Mohd Azmi berkata, mempertahankan institusi tidak bermaksud mempertahankan kelemahan atau salah laku, sebaliknya usaha membersihkan institusi daripada unsur yang merosakkan kewibawaan serta menghakis keyakinan rakyat.
Katanya, mana-mana individu tanpa mengira jawatan, pengaruh atau kedudukan politik yang didapati menyalahgunakan amanah perlu disiasat secara bebas dan dikenakan tindakan mengikut undang-undang jika terbukti bersalah.
“Tiada siapa boleh diberikan kekebalan apabila amanah rakyat telah dikhianati,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan kritikan terhadap kelemahan tadbir urus tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melemahkan agenda pemerkasaan Bumiputera.
Sebaliknya, katanya, reformasi menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan agenda itu terus relevan, diyakini dan berkesan.
“Sudah tiba masanya semua agensi yang mengurus dana awam dinilai berdasarkan integriti, keberkesanan dan impaknya kepada rakyat.
“Reformasi mesti bermula dari peringkat kepimpinan tertinggi, diperkukuhkan dengan sistem semak dan imbang yang bebas serta disokong budaya tadbir urus yang telus dan profesional.
“Masa depan bangsa tidak boleh dipertaruhkan kerana kelemahan segelintir individu. Atas nama Islam, atas nama bangsa Melayu dan atas nama amanah kepada rakyat, MAPIM menyeru agar reformasi institusi dilaksanakan dengan keberanian, ketegasan dan keikhlasan demi membina sebuah negara yang berintegriti, adil dan bermaruah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
