KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menggesa reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap agensi dan institusi Bumiputera dengan memberi penekanan kepada pembersihan kepimpinan serta pengukuhan tadbir urus bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera terus diyakini.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, agenda pemerkasaan Bumiputera hanya akan berjaya sekiranya institusi yang dipertanggungjawabkan membangunkan ekonomi, pendidikan, keusahawanan dan kesejahteraan masyarakat Bumiputera ditadbir dengan penuh integriti, profesionalisme serta akauntabiliti.
Menurut beliau, pelbagai agensi telah diwujudkan sejak beberapa dekad lalu dengan mandat besar serta menerima peruntukan dana awam yang tinggi, namun isu kelemahan tadbir urus, ketirisan, salah urus, pembaziran, konflik kepentingan dan penyalahgunaan kuasa yang dibangkitkan menimbulkan persoalan terhadap keberkesanan sebahagian institusi berkenaan.
“Agenda Bumiputera tidak boleh terus menjadi mangsa kepada kelemahan pengurusan. Yang mesti dipertahankan ialah hak dan masa depan Bumiputera, bukannya individu yang gagal menggalas amanah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan sendiri telah menegaskan bahawa agenda pemerkasaan Bumiputera merupakan agenda nasional yang perlu dilaksanakan dengan tatakelola yang baik serta memperkukuh institusi sedia ada.
Sehubungan itu, MAPIM mengemukakan lapan tuntutan reformasi kepada kerajaan.
Antaranya ialah pelaksanaan audit forensik menyeluruh terhadap semua agensi dan institusi strategik Bumiputera yang mengurus dana awam, aset strategik serta pelaburan berskala besar.
Selain itu, MAPIM turut menggesa pembersihan pengurusan tertinggi dengan menggantung tugas mana-mana pegawai atau ahli lembaga yang didapati terlibat dalam salah guna kuasa, penyelewengan, konflik kepentingan atau kecuaian serius untuk disiasat tanpa campur tangan politik.
Mohd Azmi berkata, semua pelantikan Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif juga perlu dibuat berdasarkan merit, kelayakan profesional, pengalaman, rekod integriti serta pencapaian, bukannya hubungan politik atau kepentingan kelompok.
Beliau turut mencadangkan semua laporan tahunan, prestasi kewangan, pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI), imbuhan pengurusan tertinggi dan status projek utama didedahkan kepada umum, kecuali perkara yang melibatkan keselamatan atau kerahsiaan yang sah.
Menurutnya, setiap kerugian besar, projek gagal atau keputusan pelaburan yang merugikan rakyat juga perlu disiasat bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur kecuaian, pelanggaran amanah atau salah laku.
“Peranan audit bebas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan jawatankuasa pemantauan dalaman juga perlu diperkukuhkan.
“Pada masa sama, perlindungan kepada pemberi maklumat mesti dipertingkatkan supaya budaya takut untuk mendedahkan penyelewengan dapat dihapuskan,” katanya.
Tambah beliau, setiap agensi Bumiputera juga perlu dinilai secara berkala berdasarkan impak sebenar kepada rakyat dan bukannya sekadar jumlah perbelanjaan atau bilangan program yang dilaksanakan.
Mohd Azmi berkata, MAPIM percaya majoriti warga kerja dalam institusi Bumiputera merupakan penjawat yang amanah dan berdedikasi, justeru reformasi itu bukan bertujuan menghukum keseluruhan institusi, sebaliknya membersihkan kepimpinan, memperkukuh sistem serta mengembalikan keyakinan rakyat.
“Sudah tiba masanya budaya melindungi individu yang gagal dihentikan. Masa depan Bumiputera tidak boleh terus dibebankan dengan kelemahan tadbir urus.
“Reformasi sebenar bermula apabila integriti dijadikan syarat utama kepimpinan, akauntabiliti menjadi budaya dan amanah rakyat dipelihara tanpa kompromi,” katanya. – DETIK MALAYSIA
