KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan reformasi dalam agensi dan institusi yang diwujudkan bagi membangunkan ekonomi Bumiputera perlu bermula dengan pembersihan pengurusan tertinggi bagi memulihkan keyakinan rakyat.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, pelbagai isu ketirisan, salah guna kuasa, kelemahan tadbir urus dan penyelewengan yang didedahkan di beberapa agensi serta institusi Bumiputera telah menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap agenda pemerkasaan Bumiputera.
Menurut beliau, keadaan menjadi lebih membimbangkan apabila institusi yang sepatutnya membela kepentingan rakyat dibelenggu kelemahan pengurusan, keputusan pelaburan yang tidak berhemat, konflik kepentingan, budaya tidak telus serta kegagalan memastikan akauntabiliti.
“Reformasi sebenar tidak akan berjaya sekiranya hanya tertumpu kepada perubahan dasar atau pertukaran struktur organisasi.
“Sebaliknya, reformasi mesti bermula dengan pembersihan pengurusan tertinggi, pengukuhan integriti institusi serta pembinaan budaya tadbir urus yang berasaskan amanah, ketelusan dan profesionalisme,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jawatan tertinggi dalam institusi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak seharusnya dijadikan ganjaran politik atau tempat menempatkan individu yang tidak mempunyai kelayakan, rekod prestasi serta integriti tinggi.
Katanya, setiap pelantikan perlu dibuat secara telus berdasarkan merit, pengalaman dan keupayaan sebenar.
Dalam pada itu, MAPIM menggesa audit forensik dilaksanakan terhadap mana-mana agensi atau institusi yang mempunyai petunjuk wujudnya salah urus, ketirisan atau kerugian besar.
“Mereka yang didapati menyalahgunakan kuasa atau mengkhianati amanah rakyat hendaklah dibawa ke muka pengadilan tanpa memilih bulu,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan juga perlu memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang menerusi audit bebas, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta perlindungan lebih kukuh kepada pemberi maklumat bagi menghentikan budaya menutup salah laku.
Menurutnya, agenda pemerkasaan Bumiputera tidak boleh dijadikan alasan untuk mempertahankan kelemahan tadbir urus, sebaliknya hanya akan berjaya jika institusi yang diamanahkan mengurus kekayaan dan peluang ekonomi Bumiputera benar-benar bersih, cekap serta berintegriti.
Beliau berkata, usaha pembersihan itu bukan bertujuan melemahkan institusi kerana majoriti penjawat awam dan warga institusi Bumiputera masih berkhidmat dengan penuh amanah.
“Negara memerlukan reformasi yang berani, menyeluruh dan konsisten. Masa depan ekonomi Bumiputera tidak boleh dibina di atas asas yang lemah, sebaliknya mesti diasaskan kepada integriti, kecekapan, akauntabiliti dan kepimpinan yang berani mempertahankan amanah rakyat,” katanya. – DETIK MALAYSIA
