JOHOR BAHRU – Malaysia Airlines meneruskan kerjasama strategik bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) selama tiga tahun lagi apabila kedua-dua pihak secara rasmi memperbaharui perjanjian sehingga 2029.
Pembaharuan itu menyaksikan syarikat penerbangan negara terus kekal sebagai Rakan Penerbangan Rasmi JDT sekali gus memastikan kelab berkenaan menerima sokongan perjalanan premium bagi menghadapi saingan domestik dan antarabangsa.
Kerjasama tersebut turut membuka ruang kepada pelbagai inisiatif baharu bagi mengukuhkan hubungan dengan penyokong selain mencerminkan komitmen kedua-dua jenama dalam mengejar kecemerlangan.
Sebelum majlis menandatangani perjanjian berlangsung, delegasi Malaysia Aviation Group (MAG) mengadakan kunjungan hormat ke atas Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Pasir Pelangi bagi membincangkan hala tuju kerjasama itu.
Majlis pemeteraian kemudiannya diadakan di Ibu Pejabat JDT, Stadium Sultan Ibrahim dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar serta Ketua Pegawai Operasi merangkap Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards bertukar simbolik jabat tangan.
Kapten Nasaruddin berkata, kerjasama itu bukan sekadar melibatkan urusan penerbangan pemain dan pegawai pasukan.
“Kami gembira dapat meneruskan perjalanan bersama Johor Darul Ta’zim sebagai Rakan Penerbangan Rasmi mereka.
“JDT telah menetapkan penanda aras kejayaan menerusi disiplin bertaraf dunia dan mentaliti juara yang tidak pernah luntur,” katanya.
Beliau berkata, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines bukan sahaja membawa penumpang, malah berperanan memperkukuhkan semangat kebangsaan dengan menghubungkan rakyat Malaysia menerusi sukan serta memperkenalkan negara di pentas antarabangsa.
Sementara itu, Alistair menyifatkan hubungan antara JDT dan Malaysia Airlines telah berkembang menjadi kerjasama strategik jangka panjang, bukan sekadar penajaan.
“Hubungan kami bersama Malaysia Airlines kini lebih daripada sebuah penajaan.
“Ia adalah kerjasama antara dua jenama besar yang berkongsi nilai kecemerlangan, konsistensi dan kebanggaan. Kami gembira dapat melanjutkan kerjasama yang berjaya ini dan berharap mencapai lebih banyak kejayaan bersama pada masa depan,” ujarnya.
Menurut beliau, Malaysia Airlines telah memberikan sokongan perjalanan kepada Harimau Selatan sepanjang kempen domestik dan saingan Asia sejak empat tahun lalu.
Menerusi perjanjian baharu itu, Malaysia Airlines akan terus menguruskan keperluan perjalanan JDT bagi semua pertandingan domestik serta kejohanan antarabangsa termasuk kempen di peringkat benua.
Selain itu, kedua-dua pihak turut merancang memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu untuk meningkatkan pengalaman penyokong di luar hari perlawanan.
Antara manfaat yang diumumkan ialah program perjalanan khas buat penyokong JDT yang menawarkan diskaun sehingga 10 peratus bagi penerbangan terpilih Malaysia Airlines menggunakan kod promosi khas.
Tempoh tempahan dibuka serta-merta sehingga 30 September 2026, manakala tempoh perjalanan sah sehingga 31 Disember 2026.
JDT yang melalui proses transformasi sejak 2013 di bawah kepimpinan Tunku Mahkota Ismail kini muncul sebagai kelab paling berjaya di Malaysia dengan 33 kejuaraan utama termasuk 12 gelaran Liga Super berturut-turut serta muncul kelab Asia Tenggara pertama menjuarai Piala AFC.
Kelab itu turut mencipta sejarah apabila mara ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elite, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara kuasa bola sepak terbaik Asia. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JST
