PUCHONG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor merampas perisian komputer, peralatan serta dokumen bernilai kira-kira RM107,700 selepas menyerbu sebuah premis perunding arkitek dan reka bentuk di sini semalam.
Serbuan pada pukul 11.15 pagi itu dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Selangor bersama wakil pemilik hak cipta selepas premis berkenaan disyaki menggunakan perisian komputer bagi tujuan komersial tanpa lesen yang sah.
Hasil pemeriksaan awal mendapati empat salinan perisian dipercayai digunakan tanpa lesen yang sah pada komputer di premis tersebut.
Daripada jumlah itu, dua perisian dipercayai digunakan bagi tujuan pemodelan pengangkutan dan perancangan trafik, manakala dua lagi merupakan perisian sokongan.
Susulan itu, satu tindakan kes dibuka kerana premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987 iaitu memiliki, menjaga atau mengawal salinan langgaran bagi kegunaan selain persendirian dan domestik.
Dalam operasi sama, KPDN turut menyita beberapa dokumen, peralatan komputer serta dua buah komputer bagi tujuan analisis forensik dan siasatan lanjut.
Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 41(1)(d) Akta Hak Cipta 1987, pesalah boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang RM4,000 dan tidak melebihi RM40,000 bagi setiap salinan langgaran atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KPDN mengingatkan semua pihak yang menggunakan karya hak cipta bagi tujuan perniagaan supaya mendapatkan kelulusan daripada pemilik hak cipta bagi mengelakkan tindakan tegas mengikut Akta Hak Cipta 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pelanggaran hak cipta boleh menyalurkannya kepada KPDN melalui WhatsApp 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi Ez ADU KPDN. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – KPDN SELANGOR
