ALOR SETAR – Imigresen FC secara rasmi dijenamakan semula sebagai Star City FC dengan pasukan itu kekal berpangkalan di utara Semenanjung bagi mengubat kerinduan peminat bola sepak di rantau berkenaan yang tidak dapat menyaksikan Kedah dan Perlis beraksi dalam saingan Liga Super musim ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penjenamaan semula itu menjadi permulaan kepada perjalanan baharu buat kelab tersebut dengan sasaran utama menamatkan saingan Liga Super musim ini dalam kelompok tiga terbaik.
Menurutnya, sasaran itu bukan sekadar untuk melengkapkan jadual pertandingan, sebaliknya beliau yakin ia mampu dicapai berdasarkan kualiti pemain serta pengalaman barisan kejurulatihan yang dimiliki pasukan.
“Saya yakin dengan kualiti pemain yang kita ada, ditambah barisan kejurulatihan yang berpengalaman, sasaran itu bukan sesuatu yang mustahil jika semua bekerja sebagai satu pasukan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang memilih untuk bersama Star City FC, sambil menyifatkan sokongan itu sebagai pembakar semangat buat pasukan untuk terus melakar kejayaan.
Dalam masa sama, beliau mengajak penyokong terus memberikan sokongan kepada Star City FC dan bersama-sama memenuhi stadium sepanjang saingan musim ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Saifuddin Nasution Ismail
