BANGKOK – Majlis Undian Rasmi (Balloting) Kejohanan Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026 – Piala Raja Thai Ke-39 berlangsung lancar di Grand Four Wings Hotel di sini hari ini, sekali gus menandakan bermulanya persaingan rasmi kejohanan yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 11 Ogos depan.
Majlis undian yang berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 12.30 tengah hari itu dikendalikan oleh Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) merangkap Setiausaha Agung Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader bersama Timbalan Presiden ISTAF, Muhammad Fariq Abdul Halim.
Keseluruhan proses undian turut disiarkan secara langsung menerusi platform media sosial ISTAF dan WE ARE SEPAKTAKRAW (WAS), sekali gus membolehkan peminat sukan itu di seluruh dunia mengikuti setiap proses secara telus dan masa nyata.
Menurut Abdul Halim, kejayaan penganjuran majlis undian itu membuktikan komitmen ISTAF terhadap prinsip integriti, ketelusan dan tadbir urus sukan bertaraf antarabangsa.
“Proses undian yang dijalankan mengikut sepenuhnya peraturan pertandingan telah menentukan pembahagian kumpulan bagi semua kategori yang dipertandingkan melibatkan acara lelaki dan wanita, termasuk Team Event, Quadrant Event, Regu Event, Doubles Event serta Hoop Event,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Sepaktakraw Thailand (TAT), semua persatuan ahli ISTAF, pegawai teknikal, wakil antarabangsa dari Iran serta seluruh jawatankuasa penganjur yang memberikan kerjasama sehingga majlis berlangsung dengan lancar dan profesional.
“Majlis undian ini bukan sekadar menentukan laluan setiap pasukan, malah menjadi simbol kesediaan komuniti sepaktakraw antarabangsa untuk menghimpunkan atlet terbaik dunia dalam semangat persahabatan, kesukanan dan pertandingan yang adil. Kini semua pasukan boleh memulakan persiapan terakhir berdasarkan keputusan undian yang telah dimuktamadkan,” katanya.
Beliau yakin Kejohanan Dunia Sepaktakraw ISTAF 2026 – Piala Raja Thai Ke-39 akan menjadi pentas terbaik untuk mempamerkan kecemerlangan teknikal, semangat kesukanan serta memperkukuhkan lagi kedudukan sukan sepaktakraw sebagai sukan bertaraf dunia yang semakin mendapat perhatian masyarakat antarabangsa. – DETIK MALAYSIA
