Pusat Latihan Angkat Berat, Kompleks Sukan Negeri Terengganu menjadi lokasi rutin harian buat Farid Redzuan Mohd Zaubidi (kiri) dan Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri yang mengimbangi tanggungjawab sebagai atlet serta pelajar Diploma Sains dan Rekreasi UC TATI menjelang SUKMA Selangor 2026.
KUALA TERENGGANU – Dua atlet angkat berat Terengganu, Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dan Farid Redzuan Mohd Zaubidi, berada di landasan terakhir untuk merealisasikan impian meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, sambil mengimbangi tuntutan sebagai pelajar sepenuh masa di Universiti College TATI (UC TATI).
Berkongsi latar sebagai rakan latihan sejak di bangku sekolah, kedua-duanya kini meneruskan perjalanan sebagai atlet dan rakan sekuliah, sekali gus menjadikan cabaran menjelang temasya itu lebih signifikan dalam karier masing-masing.
Mengakui kekangan masa sebagai antara ujian terbesar, Muhammad Shah Jeh’an berkata rutin harian yang padat memerlukan disiplin tinggi untuk memastikan prestasi akademik dan latihan tidak terjejas.
“Bukan mudah untuk memberi fokus kepada kelas dan latihan dalam masa yang sama. Sejak semester pertama lagi kami sudah perlu membahagikan masa dengan banyak kejohanan dan program latihan.
“Tetapi kami bersyukur kerana sistem pembelajaran di UC TATI memberi ruang kepada atlet seperti kami untuk terus beraksi tanpa mengabaikan pelajaran. Kami masih pelajar sepenuh masa dan sasaran kami adalah untuk tamat pengajian mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Farid Redzuan menegaskan sokongan berterusan pihak pengurusan dan pensyarah institusi berkenaan menjadi pemangkin utama untuk mereka kekal kompetitif sehingga ke peringkat tertinggi.
Menurutnya, pengalaman melalui pelbagai fasa dalam program pembangunan angkat berat negeri turut membentuk kekuatan mental menjelang penampilan terakhir mereka di SUKMA.
“Kami sudah melalui banyak perkara bersama sejak menyertai program latihan SUKMA. Ada masa susah, ada masa senang, tetapi impian kami tetap sama iaitu pingat emas.
“SUKMA Selangor 2026 adalah penampilan terakhir kami. Ini peluang terakhir untuk membuktikan kepada keluarga, jurulatih dan semua yang telah berkorban bersama kami bahawa segala usaha selama ini berbaloi,” katanya.
Farid yang mula menyertai program angkat berat pada 2019 dan membuat penampilan sulung di SUKMA Sarawak 2024 tidak menolak kemungkinan edisi kali ini menjadi pentas terakhirnya sebagai atlet.
“Selepas ini, saya sendiri belum pasti bagaimana perjalanan saya dalam sukan ini. Mungkin ini adalah penghujung perjalanan saya sebagai atlet,” katanya.
Pada edisi ke-22 SUKMA nanti, Terengganu mempertaruhkan seramai 16 atlet angkat berat membabitkan lapan atlet lelaki dan lapan atlet wanita yang akan beraksi dari 16 hingga 20 Ogos 2026 di Dewan Seri Cempaka, Hulu Langat.
Pada dua tahun lalu di pentas SUKMA Sarawak 2024, skuad angkat berat Terengganu mencipta kejayaan membanggakan apabila Muhammad Izzan Ismadi memecahkan rekod kebangsaan sebelum menghadiahkan pingat emas dalam kategori 96 kilogram (kg) lelaki.
Turut mencuri perhatian ialah Nur Alissa Sofea Mohamadnor Wardi yang menyumbang emas dalam kategori wanita 71kg selepas merekodkan angkatan keseluruhan 166kg menerusi disiplin snatch (71kg) dan clean & jerk (95kg).
Kejayaan itu membantu Terengganu menutup tirai saingan angkat berat SUKMA Sarawak 2024 dengan kutipan empat pingat emas dan dua perak.
