KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa siasatan menyeluruh dilakukan terhadap sistem keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) susulan penahanan seorang juruterbang di Indonesia, dan bukannya hanya menentukan agensi yang perlu dipersalahkan.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, pihaknya memandang serius kenyataan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bahawa juruterbang terbabit telah melepasi semua pemeriksaan keselamatan di KLIA, manakala pemeriksaan bagasi berada di bawah tanggungjawab Aviation Security (AVSEC).
Menurut beliau, persoalan utama bukanlah mengenai agensi yang bertanggungjawab, sebaliknya bagaimana dadah dalam kuantiti yang begitu besar didakwa boleh melepasi sistem keselamatan sebuah lapangan terbang antarabangsa.
“Jika semua prosedur dipatuhi tetapi ancaman masih gagal dikesan, maka prosedur tersebut perlu dinilai semula secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pengangkutan menubuhkan pasukan siasatan bebas yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), AKPS, Malaysia Airports, syarikat penerbangan berkaitan serta pakar keselamatan penerbangan.
Katanya, pasukan itu perlu mengenal pasti sama ada wujud kelemahan teknologi, kecuaian manusia atau unsur jenayah terancang dalam insiden berkenaan.
Dalam pada itu, MCW mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi terhadap mana-mana syarikat penerbangan atau individu sehingga siasatan selesai.
“Prinsip keadilan dan proses undang-undang hendaklah dihormati,” katanya.
Jais berkata, kes berkenaan bukan sekadar melibatkan seorang juruterbang, sebaliknya turut menyentuh kredibiliti sistem keselamatan negara, reputasi industri penerbangan Malaysia serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap integriti pintu masuk negara.
“Integriti bukan diukur apabila sistem berfungsi dalam keadaan biasa tetapi apabila sistem berjaya menghalang jenayah daripada melepasi setiap lapisan kawalan.
“Jika terdapat kelemahan, ia mesti diperbetulkan dengan segera, telus dan tanpa kompromi,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – JANAAN AI
