SHAH ALAM – Bulan Ogos tahun ini disifatkan sebagai detik penting untuk rakyat Malaysia menghayati semangat kemerdekaan, mencontohi akhlak Rasulullah SAW serta memperkukuh peranan institusi masjid dalam membina masyarakat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, sambutan Hari Kebangsaan, Hari Masjid Sedunia dan Maulidur Rasul pada bulan sama tidak seharusnya dilihat sebagai acara berasingan, sebaliknya saling melengkapi dalam membentuk sebuah negara yang berteraskan keadilan, amanah dan kesejahteraan.
Beliau berkata, kemerdekaan bukan sekadar diraikan menerusi upacara rasmi atau kibaran Jalur Gemilang, malah perlu diukur berdasarkan kebebasan rakyat daripada kemiskinan, rasuah, ketidakadilan, ketakutan dan kejahilan.
“Negara mungkin sudah memiliki kerajaan, perlembagaan dan sempadannya sendiri, namun rakyat masih belum benar-benar merdeka jika terus dibelenggu penindasan, ketidaksamaan ekonomi dan salah guna kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, masyarakat juga perlu menghayati Maulidur Rasul dengan mencontohi sifat siddiq, amanah, tabligh dan fatanah yang menjadi asas kepimpinan Rasulullah SAW, selain menterjemahkan kecintaan kepada Baginda melalui usaha menegakkan keadilan, rahmah dan kebajikan.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, masjid perlu diperkasakan sebagai pusat pembangunan masyarakat dan bukan hanya berfungsi sebagai tempat menunaikan ibadah.
Katanya, institusi itu sewajarnya memainkan peranan lebih luas termasuk membantu golongan miskin, membangunkan belia, memperkukuh pendidikan, menggerakkan ekonomi komuniti serta menjadi pusat penyelesaian masalah masyarakat.
Beliau turut menggesa pengurusan masjid diprofesionalkan dengan memanfaatkan teknologi, membangunkan pangkalan data komuniti, memperluaskan program pendidikan sepanjang hayat serta mengukuhkan jaringan kerjasama antara masjid.
“Pemerkasaan masjid bukan sekadar menambah baik bangunan atau kemudahan, tetapi memastikan institusi itu benar-benar memberi impak kepada kehidupan masyarakat,” katanya.
Beliau menambah, Ogos 2026 wajar dijadikan bulan muhasabah dan tindakan dengan pelbagai program yang menghubungkan semangat kemerdekaan, penghayatan akhlak Rasulullah SAW serta transformasi institusi masjid.
“Daripada masjid kita membina manusia, daripada jiwa Nubuwwah kita membina akhlak dan dengan ruh kemerdekaan kita mempertahankan maruah negara serta ummah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
