BAGAN DATUK – Program Cabaran Parit Kampung Sungai Batang 2026 yang berlangsung dalam suasana meriah berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai peringkat usia menerusi pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memancing dan cabutan bertuah.
Program itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan memancing serta menyempurnakan cabutan bertuah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata, penganjuran program berkenaan bukan sahaja menjadi platform riadah kepada penduduk, malah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.
“Program yang berlangsung dalam suasana penuh meriah ini berjaya menghimpunkan masyarakat daripada pelbagai lapisan umur melalui pelbagai aktiviti menarik termasuk pertandingan memancing dan cabutan bertuah, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.
“Kehadiran dan semangat kebersamaan yang ditunjukkan membuktikan bahawa aktiviti kemasyarakatan seperti ini bukan sahaja menjadi medium riadah, malah mampu memperkukuhkan perpaduan dan semangat kejiranan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Ahmad Zahid turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk selain menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan memancing yang disambut penuh kegembiraan oleh peserta dan pengunjung.
Shahrul turut merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, para peserta serta seluruh penduduk Kampung Sungai Batang yang bersama-sama menjayakan program berkenaan.
“Semoga program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform untuk mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti,” katanya. – DETIK MALAYSIA
