SHAH ALAM – Seorang lelaki maut manakala empat ahli keluarganya cedera parah selepas kereta Proton Saga FLX yang mereka naiki terbabas lalu melanggar tiang elektrik di Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22 di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.20 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian sejauh lima kilometer.
“Setibanya di lokasi pada pukul 1.28 petang, pasukan bomba mendapati kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga FLX yang terbabas melanggar tiang elektrik.
“Terdapat lima mangsa dalam kenderaan berkenaan iaitu dua dewasa, dua kanak-kanak dan seorang bayi,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba pada 1.45 petang namun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
“Seorang wanita berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah dan diserahkan kepada pihak KKM untuk rawatan lanjut.
“Dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia tujuh dan empat tahun serta seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan turut mengalami kecederaan parah. Semua mangsa kanak-kanak telah dihantar ke hospital oleh orang awam,” katanya.
Operasi yang diketuai oleh PBK II (KUP) Haspezal Andam melibatkan tujuh anggota serta satu jentera jenis FRT dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.46 petang.
Tambahnya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Ihsan Bomba Selangor