KUALA LUMPUR – Penjawat awam tidak dibenarkan sama sekali terlibat dalam sebarang aktiviti atau majlis yang melibatkan minuman keras (arak) atau sebarang bentuk minuman beralkohol.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat berkata berkata, penjawat awam perlu sentiasa menjaga integriti, imej dan maruah perkhidmatan awam.
Katanya, ia selaras dengan nilai profesionalisme serta tatakelakuan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Penyertaan dalam aktiviti yang boleh mencemarkan reputasi jabatan atau menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau turut menasihatkan agar mana-mana penjawat awam yang menerima jemputan menghadiri majlis makan malam, jamuan rasmi atau tidak rasmi yang disyaki melibatkan minuman beralkohol supaya mendapatkan pengesahan daripada pihak penganjur terlebih dahulu.
“Sekiranya terdapat keraguan atau maklumat bahawa majlis tersebut melibatkan minuman arak, penjawat awam hendaklah menolak jemputan itu serta melaporkan segera kepada pihak berkuasa atau ketua jabatan masing-masing,” katanya.
Dalam masa sama, Cuepacs menggesa pihak swasta dan industri supaya menghormati budaya serta sensitiviti agama, khususnya dalam majlis rasmi yang turut dihadiri penjawat awam.
“Malaysia merupakan negara majmuk yang mengamalkan nilai kesopanan, kesusilaan dan menghormati kepercayaan agama. Oleh itu, setiap penganjur perlu peka terhadap budaya rasmi kerajaan, terutamanya apabila majlis melibatkan kakitangan awam yang sebahagian besar beragama Islam,” katanya.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan setiap bentuk majlis rasmi atau tidak rasmi tidak menyinggung mana-mana pihak dan selari dengan nilai moral serta budaya masyarakat Malaysia.
Tambahnya, Cuepacs turut menyeru semua jabatan dan agensi kerajaan supaya lebih berhati-hati dalam memilih acara atau program yang disertai bagi mengelakkan timbulnya persepsi negatif terhadap penjawat awam dan memastikan imej perkhidmatan awam kekal dihormati rakyat.
“Cuepacs akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan penjawat awam kekal berdisiplin, berintegriti dan menjadi contoh teladan kepada masyarakat dalam setiap tindakan dan penampilan,” katanya. - DETIK MALAYSIA
