PUTRAJAYA – Sebanyak 100 motosikal berkuasa tinggi mengiringi Jelajah STAR CITY FC – The Pride of the North 2026 yang memulakan perjalanan selama lapan hari merentasi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, hari ini.
Konvoi berkenaan diketuai sendiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STAR CITY FC, Datuk Syed Mahadi Syed Hassan, selepas majlis flag-off di Putrajaya pagi tadi.
Menurut Syed Mahadi, rombongan itu kemudian tiba dengan selamat di Kuala Lumpur sebagai destinasi pertama jelajah berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyempurnakan majlis flag-off selain memberikan sokongan terhadap usaha STAR CITY FC.
“Penghargaan turut ditujukan kepada Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM, Datuk Seri Hasbullah Ali serta Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus atas sokongan dan kerjasama dalam memastikan aspek keselamatan serta kelancaran perjalanan konvoi.
“Dengan kerjasama semua pihak, perjalanan hari pertama dapat dilaksanakan dengan baik, tersusun dan teratur,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Setibanya di Kuala Lumpur, rombongan turut mengadakan kunjungan ke Kuala Lumpur City FC dan menyerahkan plak kenangan STAR CITY FC kepada Naib Presiden Kuala Lumpur FA, Datuk Haji Ramlan Haji Askolani.
Syed Mahadi berkata, kunjungan tersebut menjadi simbol bahawa persaingan di atas padang tidak menghalang hubungan persahabatan serta silaturahim di luar padang dalam komuniti bola sepak Malaysia.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai sokongan PDRM, pasukan keselamatan, peserta konvoi, pengamal media serta peminat dan penyokong STAR CITY FC sepanjang perjalanan hari pertama.
“Buat The Northern Stars, setiap lambaian, sorakan dan kata-kata semangat yang diberikan menjadi pembakar semangat kepada kami untuk meneruskan perjalanan ini.
“Perjalanan kami masih panjang dan kami akan meneruskan misi ke destinasi seterusnya untuk bertemu lebih ramai komuniti, penyokong dan rakan-rakan dalam keluarga besar bola sepak Malaysia,” katanya.
Jelajah berkenaan membawa tema 100 Motosikal • 8 Hari • 1 Misi dengan matlamat mendekatkan STAR CITY FC di hati rakyat Malaysia.
Syed Mahadi turut memohon doa agar perjalanan rombongan itu terus dipermudahkan, dilindungi dan selamat sehingga ke destinasi terakhir. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – STAR CITY FC
