Oleh MOHD AZMI ABDUL HAMID
SHAH ALAM – Kemerosotan jualan dan pembacaan akhbar Melayu tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai krisis ekonomi atau kesan perubahan teknologi media, sebaliknya mencerminkan kemerosotan budaya ilmu, pemikiran dan kesedaran masyarakat.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan TERAS, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, isu berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas, khususnya kedudukan ilmu, budaya membaca serta kepentingan institusi media dalam membentuk pemikiran masyarakat Melayu.
Menurut beliau, pandangan Prof. Datuk Dr. Ahmad Murad Merican supaya masyarakat Melayu mencontohi kesungguhan masyarakat Cina mempertahankan akhbar mereka wajar diberikan perhatian serius.
Katanya, kekuatan akhbar Cina bukan semata-mata disebabkan kesetiaan pembaca membeli penerbitan berkenaan, tetapi turut didukung ekosistem sosial yang melibatkan pendidikan, keluarga, persatuan, perniagaan dan jaringan komuniti.
Beliau berkata, akhbar sepatutnya berfungsi sebagai institusi pembinaan pemikiran, penyampai aspirasi serta penghubung masyarakat dengan perkembangan semasa.
“Persoalannya, adakah kita masih melihat akhbar sebagai institusi penting dalam membina pemikiran bangsa atau sudah meletakkannya sekadar bahan bacaan pilihan apabila mempunyai masa lapang?” katanya dalam komentar bertajuk Akhbar Melayu: Krisis Bukan Sekadar Jualan, Tetapi Kemerosotan Budaya Ilmu, Pemikiran dan Kesedaran Masyarakat.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi mengenal pasti lima persoalan utama yang perlu diberikan perhatian bagi menangani kemerosotan industri akhbar Melayu.
Pertama, katanya, kemerosotan budaya membaca dan penghargaan terhadap ilmu semakin ketara apabila masyarakat bergantung kepada kandungan ringkas, sensasi serta maklumat segera menerusi media sosial.
Keadaan itu menyebabkan pembacaan yang memerlukan tumpuan, kesabaran dan pemikiran kritis semakin terpinggir sehingga masyarakat mudah membentuk pendapat berdasarkan maklumat tidak lengkap.
Justeru, budaya membaca perlu dihidupkan semula melalui institusi keluarga, sekolah, universiti, masjid dan organisasi masyarakat.
Kedua, beliau berkata, krisis kepercayaan terhadap kewartawanan Melayu perlu ditangani kerana sokongan pembaca tidak boleh hanya bergantung kepada sentimen mempertahankan identiti bangsa.
Sebaliknya, akhbar perlu membuktikan kredibiliti menerusi integriti, kebebasan editorial dan keberanian menyampaikan kebenaran, termasuk mengangkat isu rakyat, kelemahan tadbir urus, penyalahgunaan kuasa serta ketidakadilan.
Katanya, persepsi bahawa sesebuah akhbar terlalu terikat dengan kepentingan politik, pemilik modal atau kelompok berkepentingan boleh menyebabkan kepercayaan pembaca semakin merosot.
“Kesetiaan pembaca tidak boleh dituntut secara automatik, sebaliknya perlu dibina melalui mutu kewartawanan,” katanya.
Ketiga, akhbar Melayu perlu kembali berperanan sebagai institusi pembinaan pemikiran bangsa dengan menyediakan ruang perbincangan lebih mendalam mengenai pendidikan, ekonomi umat, kemiskinan, jurang kekayaan, integriti kepimpinan, pembangunan generasi muda dan kedudukan bahasa Melayu.
Beliau berkata, kewartawanan tidak seharusnya hanya melaporkan sesuatu peristiwa, sebaliknya membantu masyarakat memahami punca, kesan serta penyelesaian terhadap sesuatu permasalahan.
Keempat, tanggungjawab memperkukuh media Melayu tidak boleh diletakkan sepenuhnya kepada pengusaha akhbar kerana institusi pendidikan, universiti, persatuan profesional, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan agama dan sektor korporat turut mempunyai peranan.
Menurutnya, satu gerakan sokongan terhadap kewartawanan Melayu berasaskan kesedaran ilmu dan kepentingan awam perlu dibangunkan.
Antara langkah yang boleh dilaksanakan termasuk program literasi media, langganan akhbar di sekolah dan universiti serta sokongan pengiklanan korporat secara telus tanpa campur tangan terhadap kebebasan editorial.
Kelima, katanya, kewartawanan Melayu perlu melakukan transformasi digital selaras dengan perubahan corak penggunaan media, khususnya dalam kalangan generasi muda yang semakin bergantung kepada telefon pintar dan platform media sosial.
Jelasnya, pengusaha media perlu meneroka model perniagaan lebih mampan melalui langganan digital, kandungan multimedia, podcast, analisis mendalam dan kewartawanan penyiasatan.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa persaingan mendapatkan jumlah tontonan dan klik tidak seharusnya menyebabkan media mengorbankan mutu kandungan demi mengejar sensasi.
Dalam pada itu, Mohd Azmi berpandangan satu inisiatif nasional perlu diwujudkan bagi memperkukuh ekosistem kewartawanan Melayu dengan melibatkan pengusaha media, wartawan, universiti, institusi pendidikan, NGO, sektor korporat dan kerajaan.
Antara agenda dicadangkan ialah penubuhan Dana Pembangunan Kewartawanan Berkepentingan Awam, latihan kewartawanan profesional, program literasi media serta pembangunan model langganan komuniti.
Pada masa sama, beliau menegaskan kebebasan media dan editorial perlu dilindungi supaya sebarang bantuan kewangan tidak dijadikan instrumen mengawal pemberitaan.
“Kita perlu belajar daripada kekuatan ekosistem media masyarakat lain, termasuk masyarakat Cina, khususnya dari segi kesedaran kolektif, disiplin membaca dan kesungguhan membina jaringan ilmu.
“Namun, kekuatan sesuatu bangsa bukan diukur melalui berapa banyak akhbar diterbitkan, tetapi sejauh mana masyarakat menghargai ilmu, mempertahankan kebenaran dan membina budaya berfikir,” katanya.
Beliau berkata, media juga perlu melakukan muhasabah dan tidak menyalahkan pembaca semata-mata apabila jualan merosot, sebaliknya menilai sama ada kandungan dihasilkan benar-benar memenuhi keperluan masyarakat serta mewakili suara rakyat.
Katanya, masyarakat Melayu memerlukan akhbar yang berani, berintegriti, kritis dan berwibawa, manakala penerbit pula perlu membuktikan bahawa mereka layak mendapat kepercayaan pembaca.
“Kita tidak boleh mengharapkan bangsa yang berhenti membaca untuk terus menjadi bangsa yang mampu memimpin,” katanya. – DETIK MALAYSIA
