SHAH ALAM – Malaysia perlu meningkatkan kewaspadaan terhadap kemungkinan kegiatan perisikan Israel dan ancaman keselamatan asing yang beroperasi di rantau Asia Tenggara.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, amaran Perdana Menteri mengenai kemungkinan ancaman berkenaan perlu dipandang serius dan disokong menerusi tindakan keselamatan yang tersusun serta bersepadu.
Menurut beliau, Malaysia tidak boleh mengambil mudah sebarang petunjuk bahawa negara jiran atau rantau ini digunakan sebagai ruang operasi perisikan asing yang mempunyai kepentingan strategik terhadap Malaysia, Palestin dan negara lain.
Katanya, kegiatan perisikan asing bukan sahaja melibatkan pengumpulan maklumat sensitif, malah boleh merangkumi pengawasan individu, pembinaan rangkaian pengaruh, manipulasi komunikasi, operasi siber serta usaha mendapatkan akses kepada institusi strategik negara.
“Malaysia tidak boleh membenarkan wilayahnya digunakan sebagai pangkalan operasi perisikan asing yang mengancam keselamatan rakyat, kedaulatan negara atau kepentingan strategik Malaysia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kes penculikan seorang warga Palestin di Kuala Lumpur pada 2022 yang dikaitkan dengan rangkaian perisikan asing menunjukkan ancaman sedemikian perlu ditangani secara serius.
Sehubungan itu, katanya, keselamatan pelarian, pelajar, aktivis dan warga Palestin di negara ini perlu diberikan perhatian bagi memastikan mereka terlindung daripada ancaman penculikan, intimidasi, pengawasan haram atau keganasan rentas sempadan.
Dalam pada itu, MAPIM berpandangan kemungkinan kegiatan Mossad atau rangkaian yang mempunyai kaitan dengan kepentingan perisikan Israel di Asia Tenggara perlu dinilai agensi keselamatan berdasarkan bukti serta maklumat yang boleh disahkan.
Mohd Azmi berkata, Malaysia juga perlu mengambil inisiatif membawa isu berkenaan ke dalam kerangka perbincangan keselamatan ASEAN menerusi kerjasama risikan, perkongsian maklumat, kawalan sempadan dan pemantauan ancaman siber.
Selain itu, beliau mencadangkan kerajaan memperkukuh saluran aduan keselamatan, perlindungan saksi serta mekanisme tindak balas segera terhadap sebarang ancaman yang boleh disahkan terhadap warga Palestin dan aktivis kemanusiaan.
MAPIM turut menggesa kerajaan meningkatkan keupayaan risikan dan kontra-perisikan negara, memperkukuh kerjasama keselamatan dengan Thailand serta negara ASEAN lain dan melindungi infrastruktur kritikal daripada kegiatan pengintipan serta pencerobohan siber.
“Sebarang kegiatan pengawasan, penculikan, ugutan atau operasi rahsia yang melanggar undang-undang perlu disiasat secara menyeluruh dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan keselamatan negara perlu dilaksanakan secara profesional, berasaskan bukti yang boleh disahkan serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.
Katanya, kewaspadaan terhadap perisikan asing tidak seharusnya bertukar menjadi prasangka terhadap sesuatu bangsa, agama atau komuniti, sebaliknya tindakan perlu disasarkan kepada kegiatan yang mengancam keselamatan negara.
“Malaysia bukan medan operasi Mossad, bukan pangkalan bagi kepentingan perisikan asing dan bukan wilayah yang boleh digunakan untuk mengancam rakyat Palestin atau mana-mana pihak yang berada di bawah perlindungan undang-undang negara ini,” katanya. – DETIK MALAYSIA
