KUALA LUMPUR – Pelumba muda negara, Hakim Danish, bakal meneruskan saingan Kejuaraan Dunia Moto3 pada musim 2027 selepas mengesahkan sambungan kerjasama bersama MSi Racing Team.
Perkembangan itu menyaksikan pelumba berusia 19 tahun berkenaan kekal dalam saingan Moto3 untuk satu lagi musim, sekali gus memberi peluang kepadanya meneruskan proses perkembangan dalam kategori kompetitif tersebut.
Hakim akan bergandingan dengan pelumba Argentina, Valentín Perrone, yang akan menyertai barisan MSi Racing Team bagi musim 2027.
Musim 2026 menjadi antara detik terbaik dalam karier Hakim apabila dia mencipta sejarah dengan meraih podium pertama dalam Kejuaraan Dunia Moto3 pada Grand Prix Itali di Mugello.
Dia kemudian melakar pencapaian lebih gemilang di Grand Prix Republik Czech di Brno apabila muncul juara Moto3 buat kali pertama.
Kemenangan itu turut menamatkan penantian selama sedekad buat Malaysia untuk meraikan pelumba yang memenangi perlumbaan Kejuaraan Dunia Moto3.
Prestasi berkenaan, selain perkembangan Hakim bersama MSi Racing Team dan kebolehannya menyesuaikan diri dengan tuntutan saingan Grand Prix, menyaksikan pasukan itu memilih untuk mengekalkannya bagi musim depan.
Bagi Hakim, keputusan itu membolehkannya meneruskan kesinambungan bersama jentera, jurutera dan struktur teknikal yang sudah dikenalinya.
“Saya sangat gembira dan bersyukur dapat meneruskan bersama MSi Racing Team untuk musim 2027. Kami sudah membina hubungan yang sangat baik sepanjang musim ini dan pasukan sentiasa menyokong saya, di dalam dan di luar litar.
“Saya tidak sabar untuk terus bekerja keras bersama pasukan dan memburu keputusan yang lebih baik musim depan,” katanya.
Sementara itu, pemilik bersama MSi Racing Team, Teo Martín, berkata pihaknya teruja dengan barisan pelumba untuk musim 2027.
“Mengekalkan Hakim Danish, Ángel Piqueras dan Iván Ortolá menunjukkan keyakinan kami terhadap bakat mereka dan kerja yang telah kami bina bersama.
“Kehadiran Valentín Perrone pula mengukuhkan lagi komitmen kami untuk membangunkan pelumba muda yang mempunyai masa depan cerah,” katanya.
Pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, turut menyambut baik kesinambungan Hakim bersama MSi Racing Team dan menyifatkannya sebagai pengiktirafan terhadap perkembangan pelumba itu.
Menurutnya, keputusan untuk kekal bersama pasukan sama adalah langkah tepat buat Hakim pada ketika ini.
“Saya percaya Hakim Danish masih mempunyai banyak perkara untuk dipelajari dalam kategori ini sebelum bergerak ke peringkat seterusnya,” katanya.
Zulfahmi turut memuji keupayaan jentera MSi, struktur teknikal serta hubungan rapat yang terjalin antara ZK Racing dan pasukan Sepanyol itu.
Kerjasama ZK Racing dan MSi Racing Team sudah terjalin sejak 2023 menerusi program FIM JuniorGP sebagai sebahagian usaha membangunkan pelumba Malaysia ke pentas antarabangsa.
Laluan itu menyediakan peluang kepada bakat tempatan untuk bergerak daripada saingan junior ke Kejuaraan Dunia Moto3, sebelum berpotensi melangkah ke Moto2 dan seterusnya MotoGP.
Kerjasama berkenaan turut membuka ruang kepada pelumba Malaysia termasuk Syarifuddin Azman yang pernah bersaing dalam Moto3.
Dengan kekal bersama MSi Racing Team, Hakim kini mempunyai peluang untuk meneruskan pembangunan kariernya dalam Moto3 sebelum mengintai langkah seterusnya ke kategori lebih tinggi. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ZK Racing
