KUALA LUMPUR – Kepimpinan dalam pendidikan bukan sekadar berkaitan dasar, data dan pencapaian, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pembangunan manusia serta masa depan generasi akan datang.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata perkara itu menjadi antara fokus yang diketengahkannya ketika menyampaikan ucaptama pada Seminar Nasional Institut Aminuddin Baki ke-33 Tahun 2026, semalam.
Menurut beliau, kepimpinan pendidikan perlu melihat peranan guru yang tidak pernah jemu mencurahkan ilmu, pemimpin yang berani melakukan perubahan serta generasi muda yang meletakkan harapan kepada sistem pendidikan.
“Bagi saya, kepimpinan pendidikan bukan hanya tentang dasar, data dan pencapaian. Ia tentang manusia — tentang guru yang tidak pernah jemu menyalakan cahaya, tentang pemimpin yang berani membuat perubahan, dan tentang anak-anak bangsa yang menaruh harapan kepada kita,” katanya.
Beliau turut mengajak warga pendidikan untuk menilai semula perkara yang sedang dibangunkan, sama ada sekadar sistem yang hebat atau turut melahirkan manusia yang hebat.
Katanya, pendidikan bukan hanya berfungsi mempersiapkan generasi menghadapi masa depan, malah menentukan bentuk masa depan yang bakal dilalui.
“Semoga perkongsian hari ini menjadi ruang untuk kita berhenti sejenak, melihat kembali perjalanan, dan menyusun langkah dengan lebih berani.
“Kerana pendidikan bukan sekadar mempersiapkan generasi untuk menghadapi masa depan. Pendidikanlah yang menentukan rupa masa depan itu sendiri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Institut Aminuddin Baki atas undangan dan kepercayaan untuk menyampaikan ucaptama pada seminar berkenaan.
“Dengan ilmu sebagai cahaya, kepimpinan sebagai amanah, dan masa depan anak bangsa sebagai arah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Naib Canselor UPSI
