NEW DELHI – India mengambil keputusan mengejutkan apabila menarik diri daripada edisi sulung Piala ASEAN FIFA 2026 bagi memberi keutamaan kepada perlawanan persahabatan bersejarah menentang Brazil pada jendela antarabangsa FIFA, September hingga Oktober depan.
Keputusan itu disahkan Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey, yang menjelaskan komitmen berdepan Brazil menyebabkan India tidak dapat menyertai kejohanan serantau berkenaan atas faktor jadual dan kekangan teknikal.
“Kami tidak dapat menyertai Piala ASEAN FIFA kerana komitmen dengan Persekutuan Bola Sepak Brazil,” katanya.
Piala ASEAN FIFA dijadual berlangsung dari 21 September hingga 6 Oktober, manakala India akan menentang juara dunia lima kali, Brazil di Kolkata pada 3 Oktober.
Bagi bola sepak India, keputusan itu dianggap satu perjudian besar, namun AIFF percaya peluang berdepan Brazil terlalu berharga untuk dilepaskan.
Chaubey berkata, perlawanan menentang Brazil mungkin menjadi pengalaman yang hanya diperoleh sekali sepanjang karier seseorang pemain.
India sebelum ini diundi bersama Indonesia, Malaysia dan Singapura dalam kejohanan berkenaan dan dijangka menjadi antara pasukan jemputan bagi edisi sulung.
“India sudah bermain empat kali dalam tempoh tiga tahun lalu menentang Singapura dan Malaysia dan mungkin akan mendapat peluang berdepan mereka lagi.
“Namun Brazil jarang berlaku, mungkin sekali seumur hidup bagi pemain India,” jelasnya.
AIFF turut percaya perlawanan berdepan Brazil mampu memberi impak lebih besar terhadap perkembangan serta populariti bola sepak di India.
“Ia sesuatu yang boleh mempromosikan sukan ini di seluruh negara,” katanya.
Menurut Chaubey, isu jadual bukan satu-satunya faktor yang membawa kepada keputusan berkenaan.
Peraturan FIFA dan tempoh jendela antarabangsa yang terhad bermakna India hanya boleh bermain empat perlawanan antara 21 September hingga 6 Oktober, sekali gus menyukarkan mereka untuk menggabungkan kempen Piala ASEAN dengan aksi menentang Brazil.
AIFF sudah memaklumkan keputusan tersebut kepada FIFA dan pihak berkenaan memahami keadaan yang menyebabkan India menarik diri.
Sebagai ganti, India merancang menggunakan jendela September-Oktober itu untuk mengatur perlawanan persahabatan tambahan menentang pasukan berstatus lebih tinggi.
Chaubey mendedahkan India berhasrat mengadakan dua perlawanan persahabatan tambahan menentang lawan yang mempunyai ranking lebih tinggi.
Langkah itu bertujuan memberi pendedahan kepada skuad India untuk berdepan cabaran lebih sukar selain mengumpul pengalaman menjelang kejohanan antarabangsa akan datang.
“Kami akan terlepas Piala ASEAN, tetapi akan menggunakan jendela antarabangsa FIFA ini sebaik mungkin supaya India dapat bermain dua lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan berkualiti.
“Pasukan yang rankingnya jauh lebih tinggi daripada India. Kami boleh belajar banyak daripada perlawanan sukar seperti itu,” katanya.
Strategi berkenaan menunjukkan perubahan pendekatan AIFF yang mahu menjadikan perlawanan menentang pasukan elit dunia sebagai platform pembangunan skuad kebangsaan.
India sebelum ini menerima jemputan sebagai salah satu pasukan tetamu untuk edisi pertama Piala ASEAN FIFA, dengan The Blue Tigers berada dalam kumpulan bersama tuan rumah Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Penarikan diri India itu menyebabkan penganjur perlu melakukan pelarasan terhadap format serta jadual asal kejohanan.
Namun bagi AIFF, peluang menentang Brazil dianggap mempunyai nilai jangka panjang yang lebih besar berbanding penyertaan dalam edisi sulung Piala ASEAN FIFA. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – AIFF
