KUALA TERENGGANU – Kontinjen Terengganu tidak menjadikan cabaran logistik dan beberapa kekangan yang timbul menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 sebagai alasan untuk mengganggu persiapan mereka memburu sekurang-kurangnya 61 pingat emas.
Timbalan Ketua Kontinjen Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pihaknya memahami cabaran yang dihadapi Selangor selaku tuan rumah dan percaya segala usaha sedang dilakukan bagi memastikan kelancaran temasya edisi ke-22 itu.
Menurutnya, setiap penganjuran temasya berskala besar mempunyai cabaran tersendiri dan tuan rumah sudah tentu berusaha memberikan yang terbaik demi memastikan perjalanan pertandingan membabitkan kontinjen negeri dapat berlangsung sebaik mungkin.

“Daripada maklum balas yang kami terima, kami memahami situasi yang berlaku dan percaya tuan rumah telah melakukan yang terbaik untuk memastikan semua kontinjen negeri dapat hadir bertanding tanpa masalah, khususnya membabitkan venue pertandingan.
“Sebagai kontinjen yang turut menerima tempias daripada cabaran penganjuran, kami juga perlu membuat beberapa penyesuaian, terutama dari segi logistik dan pengurusan atlet,” katanya.
Zuraida berkata, ketiadaan perkampungan sukan pada edisi kali ini turut memerlukan Terengganu membuat percaturan lebih awal bagi memastikan urusan penginapan, pergerakan dan kebajikan atlet dapat diurus dengan lancar.
Bagaimanapun, katanya, segala perancangan berkaitan logistik telah disusun sebaik mungkin bagi membolehkan atlet memberi tumpuan sepenuhnya kepada pertandingan tanpa dibebani perkara di luar gelanggang.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan sokongan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan yang berperanan sebagai jabatan angkat serta badan induk sukan negeri sebagai antara kekuatan penting kontinjen Terengganu menghadapi SUKMA Selangor.
“Sokongan daripada pelbagai pihak ini memberi nilai tambah kepada kontinjen kerana masing-masing membantu mengikut kapasiti dan peranan yang ditetapkan.
“Begitu juga badan-badan induk sukan negeri yang sentiasa hadir memberikan sokongan kepada atlet dan pasukan masing-masing,” katanya.
Pada SUKMA Selangor 2026, Terengganu mengambil bahagian dalam 35 daripada keseluruhan 37 acara yang dipertandingkan dengan penyertaan seramai 799 orang melibatkan atlet dan pengurusan pasukan.
Kontinjen itu menyasarkan sekurang-kurangnya 61 pingat emas bagi memastikan Terengganu berada dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan pada temasya kali ini.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Terengganu menduduki tempat kelima keseluruhan selepas mengumpul 41 pingat emas, 36 perak dan 47 gangsa. – DETIK MALAYSIA
