PELABUHAN KLANG - Misteri kehilangan seorang kru kapal korek pasir MV Darrun 88 yang dilaporkan hilang sejak awal minggu ini akhirnya terungkai apabila mayatnya ditemui terapung, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa dikenali sebagai Luo Deliang, 54, warga China, ditemui sekitar 8.20 pagi semalam, kira-kira 50 meter dari lokasi kapal bersauh, iaitu satu batu nautika barat Pantai Acheh, Pulau Indah.
“Mayat mangsa dijumpai oleh bot Maritim Perkasa 36 yang terbabit dalam operasi Mencari dan Menyelamat (Carilamat), dengan bantuan pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, mayat mangsa dibawa ke Jeti Peninsular Sailing Club pada jam 9.10 pagi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Abdul Muhaimin turut menasihatkan semua pengusaha dan pekerja sektor maritim agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan, khususnya pemakaian jaket keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut.
“Maritim Malaysia menyeru orang awam agar segera menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kecemasan, jenayah atau aktiviti mencurigakan di laut menerusi talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di 013-660 6652 untuk tindakan segera,” katanya. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - MARITIM NEGERI SELANGOR