KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan Turkiye sekali lagi memberi jaminan untuk terus membantu dalam usaha membebaskan sembilan aktivis dan sukarelawan Malaysia yang kini ditahan secara haram oleh rejim Zionis Israel.
Anwar berkata, kerajaan Malaysia tidak akan berdiam diri dan akan terus menuntut keadilan serta pembebasan segera kesemua wira kemanusiaan tersebut.
“Buat semua ahli keluarga yang menanti dengan doa dan air mata, percayalah, negara bersama kalian.
Anak-anak Malaysia yang berani ini bukan sekadar sukarelawan berjiwa murni, mereka adalah wira kemanusiaan yang membawa nama negara ke tengah lautan perjuangan,” katanya menerusi satu hantaran Facebook malam tadi.
Tambahnya, sokongan padu Turkiye menunjukkan komitmen berterusan Ankara dalam memperjuangkan nasib rakyat Palestin dan mempertahankan hak kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut mendoakan agar semua sukarelawan terbabit diberikan kekuatan dan perlindungan oleh Allah SWT sepanjang tempoh tahanan mereka.
“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus berjuang menuntut keadilan serta pembebasan mereka.
"Semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada anak-anak Malaysia menempuhi cabaran ini dan mempermudahkan setiap langkah urusan pembebasan mereka,” katanya.
Kesemua sembilan rakyat Malaysia terbabit dilaporkan antara peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) x Thousand Miles to Gaza (TMTG) yang ditahan oleh tentera Israel selepas kapal mereka, Conscience, dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Gaza, semalam. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Jabatan Penjara Malaysia