PELABUHAN KLANG – Tindakan tidak bertanggungjawab sebuah bot penumpang yang membawa penumpang melebihi kapasiti dibenarkan mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor berhampiran Pulau Ketam, di sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Ketam selepas pihaknya menerima aduan awam sekitar pukul 1.55 petang mengenai sebuah bot yang membawa lebihan penumpang di jeti penumpang Pulau Ketam.
“Bertindak atas maklumat tersebut, sebuah bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan bot berkenaan tidak lama kemudian.
"Hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan tiga kru warga tempatan terdiri daripada seorang nakhoda berusia 63 tahun serta dua kru masing-masing berusia 33 dan 59 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut membawa 48 penumpang, jauh melebihi had dibenarkan iaitu hanya 12 orang seperti yang dinyatakan dalam lesen sah operasi.
“Tindakan membawa lebihan penumpang ini merupakan kesalahan serius kerana melibatkan keselamatan nyawa sekiranya berlaku kecemasan atau kejadian tidak diingini,” ujarnya.
Menurutnya, pihaknya telah beberapa kali mengeluarkan amaran kepada pengusaha bot agar mematuhi syarat lesen, namun kes seumpama ini masih berulang.
“Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengusaha yang melanggar syarat lesen,” katanya.
Katanya, bot terbabit bersama tiga kru telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Maritim Malaysia turut mengingatkan komuniti maritim agar sentiasa mematuhi syarat lesen dan menitikberatkan aspek keselamatan penumpang.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-660 6652 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. - DETIK MALAYSIA
Foto kredit - Maritim Selangor