NAGOYA, JEPUN – Tanggungjawab pengadil sepak takraw bukan sekadar memastikan peraturan permainan dipatuhi, sebaliknya turut menjadi penjaga integriti pertandingan.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Integriti ASTAF, Jais Abdul Karim ketika menyampaikan mesej mengenai etika profesional dan integriti dalam ASTAF International Referee Masterclass di Nagoya, kelmarin.
Menurut beliau, setiap keputusan yang dibuat pengadil boleh memberi kesan kepada pemain, pasukan, penyokong, kejohanan serta reputasi sepak takraw.
“Pengadil yang baik tahu peraturan. Pengadil yang hebat melindungi integriti permainan,” katanya.
Dalam sesi berkenaan, Jais turut memperkenalkan lima prinsip 5I ASTAF iaitu Independence (kebebasan), Impartiality (tidak berat sebelah), Integrity (integriti), Information (maklumat) dan Intervention (campur tangan).
Beliau mengingatkan pengadil supaya kekal berkecuali, menolak pengaruh tidak wajar, melindungi maklumat sulit serta melaporkan sebarang salah laku.
Katanya, integriti juga boleh terjejas disebabkan perkara yang dilihat kecil seperti pemberian hadiah, layanan istimewa, hubungan persahabatan, tekanan pihak luar, kecenderungan terhadap negara tertentu dan penggunaan media sosial.
Dalam berdepan pendekatan mencurigakan, beliau memberikan nasihat jelas kepada pengadil iaitu “tolak, rekod dan lapor”.
Jais berkata, masa depan sepak takraw bergantung kepada pegawai yang adil, berani dan profesional.
“Pemain mencipta juara. Pengadil melindungi integriti. Integriti membina masa depan,” katanya.
ASTAF turut membawa mesej One Game. One Standard. One Integrity dalam usaha menekankan kepentingan integriti dalam sukan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
