PADAWAN – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyantuni keluarga mendiang Debra Moset, salah seorang mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, Sarawak pada 8 September lalu.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN, Datuk Seri Nancy Shukri menziarahi keluarga mendiang di Kampung Semadang, di sini hari ini.
Dalam kunjungan itu, beliau menyampaikan bantuan tunai menerusi Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA YKN) sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada keluarga mendiang.
Nancy turut merakamkan ucapan takziah serta berharap keluarga mendiang diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi kehilangan insan tersayang.
“Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mudah untuk diterima. Sumbangan ini tidak mampu menggantikan nyawa yang telah pergi, namun saya berharap ia dapat membantu meringankan sedikit beban keluarga dalam menghadapi waktu yang amat sukar ini.
“Bantuan PEKA YKN ini merupakan antara bentuk sokongan awal kepada keluarga mangsa. Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian kita amat penting agar keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian.
“Saya mendoakan agar seluruh keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan. Semoga segala jasa serta pengorbanan mereka dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman, sentiasa dikenang,” katanya.
Selain bantuan tunai, keluarga mendiang turut menerima khidmat kaunseling dan sokongan psikologi daripada kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN serta sumbangan bakul makanan.
Ibu mendiang turut disyorkan menerima Bantuan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan mulai Oktober ini.
Adik bongsu mendiang, Ponis Moses yang merupakan individu kurang upaya (OKU) fizikal pula didaftarkan untuk menerima bantuan OKU.
Turut hadir Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Anak Mongin; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Mohd Daud Mohd Arif.
Pada 18 September lalu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr. Maziah Che Yusoff turut menziarahi keluarga Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan dan menyampaikan bantuan PEKA YKN.
Bantuan sama turut diselaraskan untuk disampaikan kepada keluarga tiga lagi mangsa iaitu Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan serta keluarga mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok di Miri, Sarawak.
PEKA YKN merupakan bantuan tunai segera kepada keluarga atau waris mangsa bencana dan kejadian tidak diingini bagi membantu meringankan beban ketika berdepan situasi sukar.
KPWKM dan YKN turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa nahas berkenaan serta mendoakan mereka diberikan kekuatan dan ketabahan sepanjang tempoh berduka. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Yayasan Kebajikan Negara (
