KUALA NERUS – Homestay Teluk Ketapang bakal menjadi tumpuan peserta antarabangsa apabila beberapa program melibatkan belia, penggiat pelancongan dan peserta dari pelbagai negara dijadual berlangsung di Terengganu dari Oktober hingga Disember ini.
Bagi memastikan persiapan berada pada tahap terbaik, Pengerusi Koperasi Homestay Teluk Ketapang (KHTK) mengadakan taklimat khas kepada semua Anggota Lembaga Koperasi (ALK), pengurusan homestay, Kg Stay dan pengusaha homestay.
Antara program yang bakal disertai ialah program promosi sempena Celebes Summit 2026 di Lapangan Terbang Makassar yang baharu pada 7 hingga 11 Oktober dengan penyertaan 26 peserta.
Lebih menarik, seramai 42 ejen pelancongan, influencer, YouTuber, universiti pelancongan dan TikToker dari Singapura, Thailand, Indonesia serta Malaysia akan berkampung di Homestay Teluk Ketapang pada 26 hingga 28 Oktober.
Pada 28 dan 29 Oktober pula, ASEAN Youth Forum on Sustainable Tourism akan menghimpunkan 50 mahasiswa dan aktivis belia dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Brunei, Myanmar, Laos, Filipina dan Kemboja untuk berforum di Terengganu.
Sementara itu, Asian Youth Conclave 2026 yang berlangsung pada 27 hingga 30 Disember dengan kerjasama UniSZA bakal disertai 70 belia dan pensyarah muda dari Pakistan, India, Bangladesh, Sri Lanka, Uzbekistan, Jepun, Korea, China serta lapan negara ASEAN.
Sehubungan itu, semua pengusaha homestay dan Kg Stay diminta menjaga prestasi serta kualiti hospitaliti bagi memastikan program-program yang bakal berlangsung itu dapat dijayakan dengan cemerlang. – DETIK MALAYSIA
