NAGOYA, JEPUN – Kontinjen Malaysia memulakan kempen pada Sukan Asia ke-20 Aichi-Nagoya 2026 dengan penuh semangat apabila menyertai acara perbarisan pada Majlis Pembukaan di Stadium Olahraga Taman Mizuho Nagoya, semalam.
Seramai 63 anggota kontinjen terdiri daripada 31 atlet dan 32 pegawai menyertai perbarisan yang diketuai Ketua Kontinjen Malaysia (CDM), Datuk Mohd Sumali Reduan.
Beliau yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Presiden Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Naib Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF), diiringi dua Timbalan CDM iaitu bekas pemenang pingat emas Sukan Asia, Mohamad Azlan Iskandar (skuasy) dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi (boling tenpin).
Atlet olahraga, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan atlet wushu, Cheong Min Tan pula diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang pada majlis pembukaan itu.
Turut menyertai perbarisan ialah 15 anggota Sekretariat Kontinjen yang terdiri daripada wakil MOM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN), selain atlet serta pegawai daripada acara bola keranjang 3×3, gimnastik artistik, kabaddi dan wushu.
Kontinjen Malaysia tampil dalam persalinan batik khas yang menampilkan interpretasi moden identiti negara dengan warna putih sebagai simbol perpaduan dan keterbukaan.
Corak biru, merah dan emas yang mengalir pula melambangkan keyakinan, keberanian, semangat serta usaha mengejar kecemerlangan, manakala motif bunga dan botani tradisional mengetengahkan kekayaan warisan negara.
Turut disertakan tampalan Jalur Gemilang pada bahagian lengan sebagai elemen kenangan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September lalu.
Anggota kontinjen turut mengenakan kasut rasmi MOM tajaan Skechers ketika membuat penampilan pada majlis pembukaan berkenaan.
Sementara itu, Presiden MOM, Datuk Dr Norza Zakaria hadir menyaksikan perbarisan kontinjen Malaysia dalam kapasiti beliau sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara.
Sebelum majlis pembukaan, Norza turut diberi penghormatan menyertai kunjungan hormat kepada Maharaja Jepun, Maharaja Naruhito dan Maharani Masako, selain Putera Mahkota dan Puteri Mahkota Akishino.
Kunjungan itu turut disertai Presiden OCA, HH Sheikh Joaan Bin Hamad Al-Thani; Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), HE Kirsty Coventry; Naib Presiden OCA bagi Zon Asia Tengah, Otabek Umarov; Naib Presiden OCA bagi Zon Asia Selatan, HRH Prince Jigyel Ugyen Wangchuck serta Naib Presiden OCA bagi Zon Asia Barat, HH Sheikh Fahad Nasser Sabah Al-Ahmed Al-Sabah.
Antara barisan Lembaga Eksekutif MOM yang hadir menyaksikan majlis pembukaan ialah Timbalan Presiden, Dr Nur Azmi Ahmad; Setiausaha Agung, Mohd Nasir Ali; Penolong Setiausaha Agung, Moira Siew See Tan; Penolong Bendahari, Subramaniam Veruthasalam serta Ahli Jawatankuasa Pemilihan MOM merangkap Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Dr Md Amin Md Taff.
Majlis Pembukaan Sukan Asia ke-20 itu menghimpunkan atlet dan pegawai daripada kesemua 45 negara anggota OCA serta Pasukan Pelarian OCA dalam meraikan perpaduan, kepelbagaian dan kecemerlangan sukan.
MOM turut menyampaikan ucapan selamat maju jaya kepada seluruh anggota kontinjen Malaysia yang akan mengharungi saingan Aichi-Nagoya 2026 dengan menjunjung nilai Olimpik iaitu kecemerlangan, hormat dan persahabatan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Olympic Council of Malaysia
