MUAR – Empat individu termasuk dua wanita ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) selepas didapati berada bersama dalam sebuah bilik hotel di daerah ini, pada pukul 9 pagi semalam.
Menurut hantaran Facebook Lampu Suluh Operasi Maksiat JAINJ, operasi pemeriksaan itu dijalankan pada sebelah pagi sebagai usaha mencegah kegiatan maksiat.
“Penguat kuasa JAINJ telah memeriksa sebuah bilik hotel di Muar pada sebelah pagi. Penguat kuasa kena lagi bijak dan panjang akal periksa hotel tidak kira siang atau malam dalam usaha cegah maksiat,” menurut hantaran tersebut.
Sebaik tiba di hadapan bilik, penguat kuasa mengetuk pintu dan memberi salam, namun tiada sahutan sebelum pintu dibuka kira-kira lima minit kemudian oleh seorang lelaki yang memakai seluar panjang dan baju-T berlengan pendek.
Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lagi lelaki yang memakai seluar pendek dan baju-T sedang duduk di atas katil, manakala seorang wanita berpakaian seluar panjang dan baju berlengan panjang turut berada di atas katil berkenaan.
Seorang lagi wanita pula ditemui sedang baring di atas lantai dengan menggunakan bantal.
Keadaan itu menunjukkan terdapat dua lelaki dan dua wanita dalam bilik berkenaan.
Pemeriksaan turut mendapati penghawa dingin bilik dipasang pada suhu 21 darjah Celsius selain terdapat beg dan pakaian wanita di dalam almari.
Hasil soal siasat mendapati keempat-empat mereka mengaku bukan pasangan suami isteri dan tiada hubungan mahram antara satu sama lain.
Kedua-dua lelaki terbabit masih bujang, manakala seorang wanita telah berkahwin dan seorang lagi masih berstatus anak dara.
Kesemua mereka berusia antara 17 hingga 20 tahun dan bekerja di sekitar Muar.
Bilik hotel berkenaan pula disewa atas nama seorang wanita.
Menurut hantaran itu, kedua-dua wanita terbabit mendakwa mereka bermalam di bilik hotel berkenaan untuk mencari ketenangan selain menikmati suasana sejuk dengan penghawa dingin.
Kedua-dua lelaki pula mendakwa mereka datang untuk menghantar sarapan dan duduk sebentar untuk berbual kerana sudah lama tidak berjumpa.
Mereka turut mendakwa keempat-empatnya hanya berkawan dan tidak mempunyai niat tidak baik.
Pemeriksaan di dalam bilik turut mendapati keadaan katil dan cadar yang tidak kemas.
Wanita yang telah berkahwin pula mendakwa mempunyai masalah rumah tangga, namun perkara berkenaan dikendalikan oleh pegawai lain.
Hantaran itu turut menjelaskan bahawa kesalahan berkaitan khalwat di bawah Seksyen 27 tidak semestinya melibatkan seorang lelaki dan seorang wanita sahaja.
Kesemua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 27 dan akan didakwa di Mahkamah Syariah.
JAINJ turut menasihatkan golongan muda supaya mengelakkan situasi yang boleh menimbulkan sangkaan buruk serta menjaga batas pergaulan. – DETIK MALAYSIA
