KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menegaskan semua pihak perlu menilai isu salah laku berdasarkan prinsip amanah, integriti, keadilan, kedaulatan undang-undang dan kepentingan rakyat tanpa mengira parti atau kedudukan individu.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata Malaysia kini berdepan tempoh yang menuntut kematangan politik, ketegasan institusi serta keberanian memperbetulkan kelemahan tata kelola negara.
Menurut beliau, pelbagai isu termasuk Tabung Haji, pengurusan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), salah guna kuasa, rasuah, skandal 1MDB, kes Najib Razak dan ketegangan dalam Kerajaan Perpaduan tidak wajar dilihat hanya sebagai pertarungan antara parti politik.
“Kesalahan tetap kesalahan, siapa pun pelakunya,” katanya dalam pendirian MAPIM mengenai pergolakan politik, tadbir urus negara dan krisis kepercayaan rakyat.
Beliau berkata MAPIM tidak mahu budaya politik yang mempertahankan kesalahan apabila dilakukan pihak sendiri, sebaliknya menghukum apabila dilakukan pihak lawan terus beroperasi.
Katanya, seseorang juga tidak boleh diberikan kekebalan hanya kerana pernah memegang jawatan tinggi, memimpin parti, menjadi anggota kerajaan atau mempunyai pengaruh politik.
Pada masa sama, katanya, sesuatu tuduhan tidak boleh dianggap sebagai bukti kesalahan kerana setiap individu berhak mendapat proses undang-undang yang adil, pembuktian berasaskan fakta serta keputusan institusi kehakiman.
Tabung Haji
Mengulas isu Tabung Haji, MAPIM berkata RCI yang didedahkan pada 2026 melaporkan kelemahan tadbir urus dan campur tangan politik dalam pengurusan serta keputusan tertentu TH termasuk berkaitan hibah, kos haji dan bantuan kewangan haji.
MAPIM melihat perkara itu sebagai isu amanah umat Islam dan negara, bukannya sekadar persoalan kewangan.
Antara perkara yang dicadangkan ialah penjelasan lengkap kepada pendeposit dan rakyat, audit serta forensik transaksi berkaitan, pertanggungjawaban individu berdasarkan bukti, pembaikan struktur tadbir urus, perlindungan dana pendeposit dan pengasingan kepentingan politik daripada pengurusan profesional TH.
MAPIM turut menyatakan RCI dilaporkan mengesyorkan pembaharuan besar terhadap tadbir urus TH termasuk kriteria pelantikan lembaga dan larangan ahli politik aktif dalam lembaga.
“Tabung Haji ialah institusi amanah umat. Jangan jadikan Tabung Haji medan percaturan politik,” katanya.
GLC bukan lubuk politik
Dalam isu GLC pula, MAPIM berpandangan syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun yang mengurus aset awam mesti dianggap sebagai amanah rakyat, bukan ruang pembahagian pengaruh politik.
Pelantikan lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi, katanya, perlu berasaskan integriti, kepakaran, pengalaman, rekod prestasi dan akauntabiliti.
MAPIM turut menegaskan sekiranya wujud salah guna kuasa, konflik kepentingan, transaksi mencurigakan atau keputusan yang merugikan negara, siasatan perlu dijalankan tanpa mengira kedudukan politik individu.
“MAPIM tidak mahu GLC menjadi lubuk politik, lubuk kroni atau lubuk kontrak,” katanya.
Menurutnya, kes terbaru membabitkan bekas CEO dan CFO sebuah GLC berhubung siasatan transaksi saham bernilai kira-kira RM370 juta menunjukkan persoalan tadbir urus GLC masih memerlukan perhatian serius.
1MDB dan Najib
Mengenai 1MDB dan Najib Razak, MAPIM berkata isu berkenaan perlu dilihat berdasarkan fakta, keputusan mahkamah, rekod kewangan dan proses undang-undang, bukannya propaganda partisan.
MAPIM menyatakan Najib telah disabitkan dalam kes SRC International yang berkaitan dengan 1MDB, manakala hukuman beliau kemudiannya mengalami perubahan melalui proses pengampunan diraja.
Pada September 2026, menurut MAPIM, keputusan terbaru membenarkan baki hukuman beliau dijalani melalui tahanan rumah.
MAPIM berkata keputusan undang-undang perlu dihormati sekiranya seseorang didapati bersalah melalui proses kehakiman, manakala hak untuk membuat rayuan atau menggunakan saluran yang diberikan undang-undang juga perlu dihormati.
Kerajaan Perpaduan
Mengenai Kerajaan Perpaduan, MAPIM melihatnya sebagai realiti politik yang membawa tanggungjawab besar kepada semua parti yang terlibat.
Menurutnya, kerajaan tidak boleh hanya bersatu ketika membentuk Kabinet tetapi berpecah apabila berdepan kepentingan rakyat.
MAPIM turut menegaskan kritikan terhadap kerajaan tidak boleh dilabel sebagai pengkhianatan kerana dalam demokrasi, kritikan dan perbezaan pandangan adalah hak, manakala semak dan imbang merupakan keperluan.
Pada masa sama, MAPIM menolak manipulasi, fitnah, sabotaj pentadbiran, penyalahgunaan institusi serta tindakan yang mengorbankan kepentingan rakyat demi survival politik.
Tolak politik dua darjat
MAPIM turut menyeru semua parti melakukan muhasabah dan menolak amalan politik ‘double standard’.
Antara contoh yang diketengahkan ialah rasuah pihak sendiri dianggap konspirasi manakala rasuah pihak lawan dianggap jenayah, selain salah guna kuasa pihak sendiri dilabel fitnah tetapi kesalahan pihak lawan dianggap bukti kegagalan moral.
Menurut MAPIM, budaya berkenaan akhirnya merosakkan negara kerana rakyat kehilangan keyakinan bahawa keadilan mempunyai ukuran yang sama.
MAPIM pada masa sama menegaskan Malaysia tidak boleh dibina berdasarkan kekuatan seorang tokoh, sebaliknya memerlukan Parlimen yang berfungsi, kehakiman bebas, SPRM berwibawa, audit berkesan, institusi kewangan profesional, GLC telus, media bertanggungjawab, masyarakat sivil bebas bersuara serta rakyat yang berani melakukan semak dan imbang.
Enam agenda reformasi
Bagi memperkukuh tatakelola, MAPIM mencadangkan reformasi pelantikan GLC, audit forensik apabila wujud keraguan material, perlindungan pemberi maklumat, ketelusan kontrak kerajaan, akauntabiliti selepas meninggalkan jawatan serta pengasingan kepentingan politik daripada pengurusan institusi.
Mengakhiri pendirian itu, MAPIM berkata akar masalah politik Malaysia bukan semata-mata pertukaran parti atau gabungan, sebaliknya apabila kuasa dipisahkan daripada amanah.
MAPIM turut memetik Surah al-Nisa’ ayat 58 yang menekankan kewajipan menunaikan amanah dan berlaku adil ketika membuat keputusan.
“Kita tidak bertanya terlebih dahulu, siapa yang melakukan? Kita bertanya, apa yang berlaku, apakah buktinya, siapa yang terkesan, apakah undang-undangnya dan bagaimana amanah rakyat mesti dipulihkan?” katanya.
MAPIM menegaskan pihaknya akan terus mengambil pendirian bebas daripada tekanan partisan dengan menilai isu berdasarkan amanah, keadilan, integriti, kedaulatan undang-undang, ketelusan, akauntabiliti, kepentingan rakyat dan maslahat negara.
“Malaysia tidak memerlukan lebih banyak politik dendam. Malaysia memerlukan politik amanah,” katanya. – DETIK MALAYSIA
