KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru semua pihak supaya tidak menjadikan pertikaian berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai medan politik, sebaliknya mengembalikan segala persoalan kepada Perlembagaan, undang-undang, adat dan fakta yang dapat dibuktikan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata perkembangan berkaitan kesahan proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dikaitkan dengan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir perlu ditangani secara berhati-hati kerana wujud pendirian berbeza antara Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).
AGC menyatakan proklamasi itu tidak sah kerana tidak memenuhi kehendak mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), selain menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar.
Pada masa sama, DKU menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan tiada kekosongan jawatan selagi jawatan itu masih dipegang secara sah. DKU turut merujuk Perkara XVI UUTKNS 1959 yang menurutnya memberikan bidang kuasa berkaitan persoalan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, peletakan dan pemecatan Yang Dipertuan Besar serta Undang.
Kerajaan Negeri Sembilan pula pada 17 September memaklumkan tidak akan mengambil tindakan pewartaan atau pelaksanaan terhadap proklamasi 19 April 2026, selaras dengan pandangan AGC.
Menurut MAPIM, perkara itu bukan ruang untuk parti politik mengambil kesempatan atau rakyat dipaksa memilih mana-mana pihak, sebaliknya menyentuh institusi Raja, Perlembagaan Negeri Sembilan, adat Melayu dan kestabilan negara.
“Jangan tentukan siapa yang benar berdasarkan siapa yang kita sokong. Tentukan kebenaran berdasarkan Perlembagaan, undang-undang, adat yang sah dan fakta yang dapat dibuktikan.”
Tolak campur tangan politik
MAPIM berkata institusi Raja Melayu mempunyai kedudukan penting dalam struktur Perlembagaan Malaysia dan tidak wajar direndahkan, dipolitikkan atau diperalatkan untuk kepentingan kepartian.
Menurutnya, kedaulatan Raja perlu dipertahankan melalui Perlembagaan, undang-undang dan adat yang sah, bukan sekadar slogan.
MAPIM turut menolak sebarang campur tangan politik dalam urusan takhta dan menegaskan persoalan berkaitan kedudukan Raja perlu dirujuk kepada UUTKNS 1959, adat Negeri Sembilan, institusi Undang, proses perlembagaan serta prinsip kedaulatan undang-undang.
Hentikan perang naratif
Dalam perkembangan yang mempunyai pelbagai versi, MAPIM berkata rakyat memerlukan dokumen, fakta dan proses undang-undang, bukannya spekulasi.
Sehubungan itu, semua pihak diminta tidak menyebarkan tuduhan terhadap mana-mana Raja, Undang, Menteri Besar, penjawat awam atau individu lain tanpa bukti yang boleh disahkan.
MAPIM turut menegaskan persoalan takhta tidak boleh diselesaikan melalui kuasa pentadbiran biasa sekiranya UUTKNS memberikan bidang kuasa tertentu kepada institusi adat dan Raja.
Jika wujud pertikaian mengenai tafsiran bidang kuasa, perkara itu perlu diselesaikan melalui mekanisme undang-undang yang sah.
Kerajaan Persekutuan perlu jaga kerangka Perlembagaan
MAPIM turut menyeru Kerajaan Persekutuan bertindak sebagai penjaga kerangka Perlembagaan dan tidak menjadi pihak dalam perebutan kuasa di peringkat negeri.
Menurutnya, kerajaan perlu memastikan Perlembagaan dihormati, institusi Raja dipelihara dan ketenteraman awam tidak terjejas.
MAPIM juga menyeru Undang Yang Empat memelihara maruah institusi berkenaan dengan berteraskan adat, amanah, musyawarah, bukti dan kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
Rakyat jangan jadi alat
MAPIM berkata rakyat Negeri Sembilan mempunyai hak untuk mengetahui perkembangan sebenar, namun tidak sepatutnya dijadikan alat untuk mengukuhkan mana-mana pihak dalam pertikaian takhta.
Rakyat turut diseru supaya tidak melakukan provokasi, penghinaan atau serangan terhadap mana-mana institusi.
“Hormati Raja. Hormati Undang. Hormati Perlembagaan. Hormati undang-undang.”
MAPIM berkata pergolakan di Negeri Sembilan perlu menjadi pengajaran nasional bahawa sempadan kuasa antara Raja, adat, kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan dan institusi undang-undang perlu dihormati.
Menurutnya, kegagalan menghormati sempadan berkenaan berisiko menukar krisis politik kepada krisis perlembagaan.
Tujuh prinsip MAPIM
Dalam pendiriannya, MAPIM menggariskan tujuh prinsip iaitu institusi Raja Melayu mesti dihormati dan dipelihara, Perlembagaan Negeri Sembilan menjadi rujukan utama, adat Negeri Sembilan dihormati dalam ruang yang diberikan undang-undang serta tiada pihak menggunakan kuasa politik secara unilateral untuk menentukan kedudukan takhta.
Selain itu, pertikaian perlu diselesaikan melalui mekanisme perlembagaan dan undang-undang yang sah, rakyat mesti dilindungi daripada propaganda, fitnah dan manipulasi politik serta institusi Raja tidak boleh dijadikan medan perebutan kuasa politik.
MAPIM menegaskan pihaknya tidak mengambil kesempatan daripada krisis berkenaan untuk menyerang mana-mana parti atau individu dan tidak mahu membuat kesimpulan terhadap perkara yang masih dipertikaikan.
“Kita tidak mahu krisis Negeri Sembilan berkembang menjadi krisis kepercayaan terhadap institusi Raja.”
MAPIM pada masa sama menyeru semua pihak berundur daripada politik emosi dan kembali kepada amanah demi mengelakkan isu berkenaan menjadi medan perpecahan politik Melayu serta rakyat Malaysia. – DETIK MALAYSIA
Daulat Tuanku.
Daulat institusi Raja.
Daulat Perlembagaan.
Teguh undang-undang.
Sejahtera rakyat.
