KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius perkembangan semasa di Negeri Sembilan yang membabitkan institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan pentadbiran kerajaan negeri.
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, isu berkenaan tidak wajar dilihat semata-mata daripada perspektif politik atau persoalan mengenai pihak yang betul atau salah.
Sebaliknya, perkara itu merupakan ujian penting terhadap integriti institusi, tatakelola, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap Adat Perpatih dan kerangka perlembagaan.
“Keunikan sistem pemerintahan Negeri Sembilan menuntut setiap pihak memahami bidang kuasa dan batas kuasa masing-masing berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, adat yang terpakai serta Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Beliau berkata, MCW mengingatkan masyarakat supaya tidak menjadikan media sosial sebagai ‘mahkamah’ dengan membuat kesimpulan berdasarkan hearsay, dokumen separa, sentimen atau tafsiran yang belum diputuskan melalui proses berautoriti.
Menurutnya, kepentingan rakyat dan kesinambungan pentadbiran negeri tidak boleh terjejas dalam keadaan tersebut.
“Integriti bukan sekadar bebas daripada rasuah. Integriti juga bermaksud menghormati batas kuasa, mematuhi proses yang sah dan bersedia mempertanggungjawabkan setiap keputusan.
“MCW menyeru semua pihak mengutamakan fakta, tertib, kebijaksanaan dan keluhuran undang-undang demi memelihara keyakinan rakyat terhadap institusi negara,” katanya. – DETIK MALAYSIA
