LISBON – Cristiano Ronaldo mengakui pernah mempertimbangkan untuk menamatkan karier antarabangsa bersama Portugal selepas Piala Dunia, namun memilih untuk terus menyarung jersi negaranya selagi merasakan dirinya masih mampu memberi sumbangan.
Ronaldo, 41, bakal membuat penampilan ke-234 bersama Portugal apabila berdepan Wales dalam aksi Liga Negara-Negara di Lisbon, esok.
Ketua jurulatih Portugal, Jorge Jesus mengesahkan bintang Al Nassr itu akan berada dalam kesebelasan utama bagi perlawanan berkenaan.
Ronaldo berkata, keputusan untuk meneruskan karier antarabangsa dibuat selepas berbincang dengan presiden dan jurulatih pasukan kebangsaan.
“Ya, saya pernah memikirkannya. Sudah tentu saya sentiasa memikirkan keputusan, masa depan dan juga keadaan sekarang.
“Saya seorang yang banyak berfikir. Anda perlu berfikir. Sebab itu anda melihat saya di sini sekarang. Ini bermakna saya akan teruskan.
“Saya masih percaya mampu membantu pasukan kebangsaan mencapai apa yang mereka mahukan dan saya akan berhenti apabila merasakan saya tidak melakukan apa-apa lagi di sini,” katanya.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu turut menegaskan sumbangannya kepada Portugal bukan sekadar menerusi jaringan, malah pengalaman dan sokongan kepada generasi muda.
“Saya fikir saya boleh memberikan sokongan kepada pasukan kebangsaan, bukan hanya melalui gol tetapi juga di luar padang.
“Ini adalah generasi muda baharu. Namun bagi saya, perkara asas adalah mampu berada di atas padang, menjaringkan gol dan membantu pasukan memenangi perlawanan,” katanya.
Ronaldo kini sudah mengumpul 979 gol sepanjang kariernya, namun menafikan dirinya terlalu obses untuk mencapai angka 1,000 gol.
Bagaimanapun, dia mengakui amat berharap dapat mencapai angka berkenaan ketika mewakili Portugal.
“Saya tahu mengapa kanak-kanak muda menyukai Cristiano kerana mereka melihat saya sebagai contoh dan saya akan terus melakukannya.
“Malah ketika saya sudah bersara… dalam tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.
Ronaldo dijangka berusia 42 tahun pada Februari depan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Getty Images
