KUALA LUMPUR – Sebanyak 11,208 pelajar dari 534 sekolah di 141 daerah seluruh negara menzahirkan kreativiti masing-masing dalam pertandingan seni kraf kolaj peringkat kebangsaan, KOKO KRAF CLUB.
Pertandingan anjuran Nestlé Koko Krunch dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia itu memberi peluang kepada murid meneroka keunikan tempat, budaya dan komuniti di sekeliling mereka menerusi penghasilan karya seni.
Berinspirasikan Tahun Melawat Malaysia 2026, pertandingan berkenaan mengetengahkan tiga tema iaitu ‘Beauty of My District’, ‘Beauty of My State’ dan ‘Beauty of Malaysia’ bagi peringkat kebangsaan.
Selepas melalui peringkat daerah dan negeri, sebanyak 15 pasukan finalis berentap pada peringkat akhir yang berlangsung di NU Sentral di sini dengan mengetengahkan interpretasi masing-masing mengenai keistimewaan Malaysia.
Pasukan Sekolah Kebangsaan Balai Badang yang dianggotai Aniqkh Hasiff, Afifa Auliaa dan Nisaa Izz muncul juara kebangsaan menerusi karya kolaj yang menggabungkan mercu tanda ikonik, hidupan liar tempatan, bunga Rafflesia serta elemen tradisional.
Karya berkenaan mengetengahkan kepelbagaian landskap, warisan budaya dan keajaiban alam semula jadi Malaysia.
Juara kebangsaan menerima hadiah wang tunai RM1,500 berserta sijil, manakala pihak sekolah menerima RM2,000 sebagai pengiktirafan atas pencapaian tersebut.
Pegawai Eksekutif Perniagaan, Nestlé Cereal Partners Worldwide (Malaysia dan Singapura), Philip Joe berkata, penyertaan lebih 11,000 pelajar tahun ini menunjukkan sambutan memberangsangkan terhadap platform berkenaan.
“Perkara yang paling menginspirasikan ialah melihat bagaimana para pelajar menzahirkan keistimewaan Malaysia dengan cara mereka yang tersendiri.
“Setiap seni kolaj membawa kisah yang berbeza, sama ada mengenai mercu tanda setempat, tradisi budaya mahupun masyarakat yang menjadikan sesebuah komuniti begitu istimewa,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Wong Kah Woh berkata, pendidikan bukan sekadar membekalkan pelajar dengan ilmu, sebaliknya turut memberi peluang kepada mereka mengenal pasti kebolehan dan mengembangkan potensi masing-masing.
Katanya, platform seperti KOKO KRAF CLUB melengkapkan pengalaman pembelajaran dengan memberi ruang kepada pelajar meneroka seni visual serta mempamerkan kebolehan mereka.
Dalam pada itu, Nelly Jimmy dari Sekolah Kebangsaan Tangkungon, Telupid, Sabah berkata, kejayaan dua daripada 15 penyertaan sekolah berkenaan melayakkan diri ke peringkat akhir di Kuala Lumpur menjadi detik membanggakan buat komuniti sekolah.
Menurutnya, guru, ibu bapa dan pihak sekolah turut berganding bahu membantu pelajar membuat persediaan serta mengatur perjalanan dari Telupid ke Kuala Lumpur.
“Pengalaman ini turut memberi inspirasi kepada kami untuk menubuhkan kumpulan kolaj khas sebagai persediaan menyertai KOKO KRAF CLUB pada tahun hadapan,” katanya.
KOKO KRAF CLUB turut menjadi platform untuk pelajar meneroka persekitaran mereka dari sudut pandangan baharu, selain menzahirkan kepelbagaian budaya, kreativiti dan rasa bangga terhadap negara menerusi karya seni masing-masing. – DETIK MALAYSIA
