JAKARTA – Kapten Harimau Malaya, Dion Cools mengakui tempoh persiapan yang singkat menyebabkan skuad negara hanya menjalani beberapa sesi latihan, namun ia tidak menghalang pasukan daripada bersedia menghadapi Bangladesh dalam aksi pembukaan FIFA ASEAN Cup 2026, esok.
Cools berkata, kesemua pemain berada dalam keadaan cergas dan bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan pertama kejohanan baharu berkenaan.
“Persiapan berjalan dengan baik. Ia tempoh yang singkat, jadi kami hanya mempunyai sedikit sesi latihan, tetapi pasukan sudah bersedia.
“Pemain juga cergas dan kami bersedia untuk beraksi esok,” katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Jakarta hari ini.
Menurut pemain pertahanan itu, skuad negara turut teruja untuk menjadi antara pasukan yang menyertai edisi sulung FIFA ASEAN Cup.
“Kami sangat gembira berada di sini dan menyertai edisi pertama FIFA ASEAN Cup. Sudah tentu kami sangat teruja untuk mengambil bahagian dalam edisi pertama ini,” katanya.
Mengulas penganjuran kejohanan yang menghimpunkan pasukan terbaik Asia Tenggara itu, Cools menyifatkan ia sesuatu yang istimewa selain memuji usaha FIFA dalam menganjurkan pertandingan berkenaan.
“Sudah tentu ia sentiasa istimewa untuk bermain dalam kejohanan serantau.
“Dalam sesebuah kejohanan, anda sentiasa mahu semua pasukan terbaik tersedia. Saya fikir FIFA sudah melakukan tugas yang baik dalam menganjurkan kejohanan ini dan semuanya disusun dengan baik,” katanya.
Cools berkata, persiapan Harimau Malaya akan diteruskan dengan satu lagi sesi latihan terakhir malam ini sebelum pasukan turun menentang Bangladesh.
“Saya tidak sabar untuk bermain esok di stadium. Malam ini kami akan menjalani sesi terakhir.
“Saya tidak sabar untuk menghadapi kejohanan ini dan berharap kami mampu mencapai sesuatu yang baik untuk negara, Malaysia,” katanya.
Menariknya, Cools mengakui masih belum berkesempatan menjejakkan kaki ke Stadium Gelora Bung Karno yang akan menjadi gelanggang perlawanan pembukaan Malaysia.
“Saya belum melihatnya lagi. Jadi, saya fikir esok adalah kali pertama saya melihat dan berada di sekitar stadium itu.
“Saya pasti akan teruja,” katanya. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FAM
