KUALA LUMPUR – Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengarahkan semua kelab memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing bagi memastikan kesihatan dan keselamatan sepanjang perlawanan Liga Malaysia (Liga M) 2026/2027 terjamin.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, semua kelab perlu peka terhadap perkembangan jerebu terutama menjelang hari perlawanan.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat secara dalam talian yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi MFL, Harris Taufieq Zafri, wakil Liga Bolasepak Amatur (AFL) serta pengurusan kelab Liga Malaysia.
Antara langkah pencegahan yang ditekankan ialah pelaksanaan cooling break, pemakaian pelitup muka serta penyediaan kemudahan perubatan dan logistik bersesuaian di venue perlawanan.
Kelab turut digalakkan menyalurkan maklumat dan nasihat langkah berjaga-jaga kepada penyokong berdasarkan keadaan semasa.
MFL memaklumkan pihaknya akan terus memantau situasi jerebu dan mengutamakan aspek kesihatan serta keselamatan pemain, pegawai pasukan, pegawai perlawanan dan penyokong.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar pada 8 Oktober lalu merekodkan bacaan IPU tidak sihat antara 101 hingga 200 di 38 kawasan di Semenanjung Malaysia, dengan Segamat, Johor mencatatkan bacaan tertinggi iaitu 190.
Keadaan itu dikaitkan dengan cuaca kering dan jerebu rentas sempadan yang melanda beberapa kawasan di rantau ini. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – Rafi Roslan/Borneo Bulletin
