BANGKOK – Brunei dipilih menggantikan Bahrain dalam Kejohanan Piala Raja Thailand edisi ke-52 selepas negara Asia Barat itu menarik diri daripada saingan yang dijadual berlangsung di Sisaket, Thailand, dari 9 hingga 17 November ini.
Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) memaklumkan Brunei menerima jemputan menyertai kejohanan itu bersama tuan rumah Thailand, Oman dan Tajikistan.
Penarikan diri Bahrain dibuat selepas persatuan bola sepak negara itu memaklumkan perubahan dalam barisan kejurulatihan menyebabkan pihaknya perlu menyemak semula perancangan latihan dan jadual perlawanan pada November.
Brunei yang berada di ranking ke-196 dunia akan menggantikan Bahrain, yang menduduki tangga ke-97, dalam kejohanan empat negara berkenaan.
Sebelum ini, Oman (ranking ke-81), Bahrain dan Tajikistan (ranking ke-100) diumumkan sebagai pasukan jemputan bagi edisi kali ini.
Kejohanan itu akan berlangsung dalam jendela perlawanan antarabangsa A FIFA dan menjadi kali pertama Sisaket menjadi tuan rumah Piala Raja Thailand.
FAT dijadual mengadakan majlis undian serta sidang akhbar rasmi pada 19 Oktober ini di Gallery Hotel, Sisaket, manakala semua perlawanan akan berlangsung di Stadium Sisaket SAT.
Oman, Bahrain dan Tajikistan sebelum ini turut layak ke Piala Asia AFC di Arab Saudi yang bermula 7 Januari depan, sekali gus menjadikan kejohanan itu medan persiapan menjelang pertandingan berkenaan. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – FABD
