BANGKOK – Petarung Muay Thai negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali menamatkan rentetan dua kekalahan berturut-turut selepas menewaskan Diego Paez menerusi keputusan sebulat suara pada ONE: The Inner Circle 35 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand, semalam.
Kemenangan itu turut membolehkan petarung berusia 19 tahun berkenaan membalas kekalahan kepada Paez yang menewaskannya menerusi keputusan juri pada pertemuan pertama mereka Jun tahun lalu.
Sejak kekalahan tersebut, Jojo merekodkan dua kemenangan dan dua kekalahan dalam empat pertarungan.
Dua kekalahan itu termasuk ketika berdepan petarung Lubnan, Ramadan Ondash.
Pertarungan ulangan menentang Paez dalam divisyen Muay Thai flyweight menyaksikan kedua-dua petarung saling berbalas serangan dalam aksi sengit tiga pusingan.
Bagaimanapun, ketiga-tiga juri memberikan kemenangan kepada Jojo menerusi keputusan sebulat suara.
Sementara itu, Paez terus mencari kemenangan selepas turut tewas kepada ‘Black Panther’ pada ONE Fight Night 42, April lalu. – DETIK MALAYSIA
Kredit foto – ONE
